Dr Burhanuddin berucap buka Kongres Ahli Tasawuf

HARAKAHDAILY | .

DR BURHANUDDIN AL-HELMY MENYAMPAIKAN UCAPAN PEMBUKAAN DALAM KONGRES AHLI-AHLI TASAWUF SUFIYYAH SELURUH MALAYA (2 OKTOBER 1960)

PADA hari ini dalam tahun 1960, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy telah menyampaikan ucapan pembukaan Kongres Ahli-ahli Tasawuf Sufiyyah Seluruh Malaya yang diadakan di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Kongres ini telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan tareqat tasawuf dari seluruh negara dengan tujuan mengorganisasikan mereka bagi membina kekuatan umat Islam selepas negara mencapai kemerdekaan. Kongres ini kemudiannya berjaya menubuhkan Persatuan Tarekat Sufiyyah yang pernah mengadakan mesyuarat agungnya kali yang pertama pada 3 Jun 1962 yang juga dibuka oleh Dr Burhanuddin al-Helmy.

Kewujudan kumpulan-kumpulan tarekat dan tasawuf di kalangan umat Islam di Malaysia sebenarnya telah berlaku semenjak abad ke-17 lagi terutama dengan masuknya Tarekat Qadariyah dan Naqsyabandiyah ke Asia Tenggara pada zaman Sheikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri (1615-1693). Di Tanah Melayu, tokoh utama bidang tasawuf ialah Sheikh Abdul Malik Abdullah (Tok Pulau Manis) (1650-1736), penulis kitab Hikam Melayu, kemudiannya diikuti oleh Sheikh Daud Abdullah al-Fathani (1769-1847), penyebar Tarekat Syatariyah di kalangan ulamak Melayu. Semenjak itu, ilmu tasawuf mula berkembang di kalangan para ulamak Melayu di Mekah dan mula tersebar kepada murid-murid mereka di seluruh negara. Sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kumpulan-kumpulan tarekat dan tasawuf telah tumbuh dengan banyak tanpa organisasi dan hanya bergerak mengikut aliran tasawuf masing-masing.

Salah seorang tokoh tasawuf yang terkenal di negara ini ialah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada usia mudanya, beliau terkenal kerana mendukung pemikiran reformasi dan menolak amalan tasawuf, walaupun bapanya sendiri adalah seorang ulamak tasawuf bertariqat Nasyabandiyah. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, ketika menyiapkan kajian kedoktoran falsafah (PhD)-nya di India pada awal 1940-an, beliau telah mendalami pemikiran tokoh-tokoh tasawuf yang terkenal termasuk al-Ghazali, al-Badawi, ar-Rafi’i, ar-Rumi, al-Qusyairi, Ibnu Ata’illah dan lain-lain sehingga beliau menerima dan menjadi pengikut tasawuf. Beliau dikatakan seorang pengikut Naqsyabandiyah beraliran Chistiyah. Semenjak itu, beliau mulai terkenal sebagai seorang ahli politik yang mengamalkan tasawuf, terutama setelah beliau memimpin PAS mulai 25 Disember 1956.

Memandangkan penglibatan golongan tarekat dan tasawuf sufiyyah dalam pergerakan masyarakat sangat kecil dan ketiadaan organisasi mereka, pada tahun 1960 telah dibuat satu inisiatif untuk mengumpulkan kumpulan-kumpulan tawasuf dari seluruh negara untuk membolehkan para ahli tasawuf ini juga berperanan dalam pembentukan negara. Kongres yang diadakan pada 2 Oktober 1960 ini telah dibuka oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Dalam ucapannya, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyeru kepada para pengamal tarekat dan tasawuf supaya bangkit berjihad dalam kepemimpinan negara kerana jika golongan agama, terutama ahli-ahli tasawuf tidak terlibat dengan politik, kepemimpinan dan pemerintahan, pentadbiran negara akan dikuasai oleh golongan sekular yang tamakkan harta dan pangkat. Bagi beliau, ahli-ahli tasawuf perlu terlibat dalam politik pemerintahan untuk membentuk kerajaan yang bersih dan tunduk kepada Allah.

Beliau menyebutkan, “Janganlah lemah ahli-ahli tarekat sufiyah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiyah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasawuf yang maghrur, tasawuf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.” Dalam konteks perjuangan berorganisasi, beliau menegaskan, “Dalam meneruskan jihad tarekat sufiyah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasawuf itu mengikut adab dan akhlak ahli-ahli tasawuf. Jangan tiru-tiru ahli fiqh. Biarlah ahli fiqh dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasawuf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakah yayasan dan perguruan tasawuf secara zaman (moden) ini, jangan jadi pak turut saja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasawuf mestilah betul-betul menjadi at-tabi’in al-‘arifin as-sodiqin.” Ucapan beliau dalam Kongres Ahli-ahli Tasawuf Sufiyyah Seluruh Malaya pada 2 Oktober 1960 dan Mesyuarat Agung Persatuan Tarekat Sufiyah pada 3 Jun 1962 telah diterbitkan oleh Maktabah Haji Abdullah Mohd Nordin ar-Rawi pada 1966 dengan tajuk “Simposium Tasawuf dan Tariqat.”

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace