Islam sebagai cara hidup, amal dalam setiap aspek

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Kedah mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Maal Hijrah)1438H kepada ummat Islam khususnya di Kedah dan Malaysia amnya. Sesungguhnya, hijrah membawa erti pengajaran amat bermakna serta mendalam kepada ummat Islam khususnya dalam mengharungi kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Ummat Islam sekarang diuji dengan pelbagai ujian. Ada di antara mereka, dihalau dari tanah air sendiri, dibunuh, disiksa malah menjadi pedagang di bumi sendiri, hidup dalam ketakutan dan kebimbangan. Kerakusan golongan anti Islam memerangi Islam dilihat semakin ketara malah di setengah tempat ummat Islam cuba dilenyapkan dan dihapuskan.

Malaysia juga tidak terkecuali mengalami tempias yang sama. Walaupun kejadian yang berlaku di sesetengah negara tidak berlaku di Malaysia, namun golongan anti Islam di Malaysia semakin berani membuat kenyataan membantah cadangan pelaksanaan undang-undang Islam malah lantang mengeluarkan amaran agar ia tidak dilaksanakan.

Justeru itu, ummat Islam perlu bangun dari tidur yang lena, bersatu hati membela kedaulatan Islam dari ditindas oleh golongan tersebut. Penghijrahan sebenar perlu ada di setiap sanubari ummat Islam agar memilih Islam sebagai cara hidup serta mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan termasuklah politik dan pentadbiran. Ummat Islam akan dihina apabila meninggalkan Islam, ummat Islam akan didera apabila menjauhi Islam malah ummat Islam akan mudah dimusnahkan apabila tidak ada kekuatan Islam sama ada untuk diri sendiri atau bernegara.

Ummat Islam harus bangun sebagai contoh terbaik. Dunia harus dibuktikan bahawa Islam adalah yang terbaik serta adil, namun kepercayaan bukan Islam kepada Islam sering terhakis kerana sikap sesetengah pemimpin dan ummat Islam sendiri tidak memberi penerangan sebenar berkenaan Islam malah gagal menunjukkan contoh terbaik kepada mereka.

Oleh itu, peristiwa Hijrah jangan hanya menjadi sambutan tahunan dengan pelbagai anugerah, tetapi harus diteliti dari konteks maksud Hijrah yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, marilah bersama-sama kita melakukan perubahan, berhijrah dari cengkaman kezaliman kepada keadilan Islam, berhijrah dari kejahilan kepada cahaya Islam dan berhijrah dari kebatilan kepada kebenaran. Semoga dengan penghijrahan itu dapat merubah suasana yang ada sekarang kepada suasana yang diredhai Allah, maka dengan itu, maruah dan harga diri ummat Islam akan disanjung dan disegani.

DATUK SITI ASHAH GHAZALI
Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace