Muhyiddin hadir di pentas PAS bukti ‘PAS Ganti Umno’

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin berceramah di atas pentas PAS pada Himpunan PAS Harapan Semua (Harap 3.4) di Kemasik, Kemaman adalah bukti PAS hendak menggantikan Umno, bukannya bekerjasama dengan Umno.

“Dia hentam Umno, kitapun hentam Umno, diapun hentam Najib, kitapun hentam Najib. Jadi kerja-kerja jahat mengatakan PAS berbaik dengan Umno terjawablah, PAS Ganti Umno (PGU) bukannya PAS bekerjasama dengan Umno (PBU),” ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah sepentas dengan bekas Timbalan Presiden Umno itu, malam tadi.

”Seperti PAS, Bersatu juga ingin menjatuhkan Najib menerusi proses demokrasi iaitu mengambil pendekatan pilihan raya, demokrasi.

“Di Malaysia ini, dalam konteks lain, memang tak sesuai, bukan budaya kita,” katanya dipetik Buletin Online.

Menurutnya, setakat ini tiada keputusan yang tepat daripada PAS berhubung kerjasama dengan Bersatu.

Mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan parti yang mahu menjadikan PAS sebagai anak tangga, beliau berkata kenyataan tersebut ditujukan kepada DAP.

“Di Malaysia ini, kerana teras politik Malaysia ialah Melayu Islam, kalau boleh macam di Perak, DAP dah dapat 18 kerusi, ‘solid’ tetapi dia tidak boleh memerintah juga.

“Sebab itu, sewaktu kita bersama Pakatan dahulu orang kata DAP akan memerintah, tidak logik. Yang boleh ‘challenge’ untuk runtuhkan pukat Umno ni, PAS sahaja yang mampu ‘challenge’ dengan Umno,” kata beliau.

Share on Myspace