Deklarasi perkasa tarbiyah Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

DEKLARASI MEMPERKASA TARBIYAH MENUTUP IJTIMAK TARBAWI PEMUDA PAS PERINGKAT KEBANGSAAN DI RUSILA (3 OKTOBER 2010)

PADA hari ini dalam tahun 2010, Ijtimak Tarbawi Pemuda Kebangsaan selama tiga hari dua malam telah berakhir di Masjid Rusila, Marang dengan Deklarasi Ijtimak Tarbawi sebagai pernyataan memperkasakan tarbiyah. Ijtimak raksasa yang dianjurkan oleh Akademi Tarbiyah (AKTAR) Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai oleh Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz ini merupakan himpunan tarbawi yang pertama setelah ia terhenti semenjak pertengahan 1990-an.

Menurut Pengarah Program, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, himpunan ini adalah kesinambungan daripada perhimpunan tarbawi peringkat antarabangsa yang pernah diadakan di tempat yang sama pada tahun 1989 dan 1994, dan ia diharapkan menjadi tempat persediaan untuk membincangkan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ijtimak yang bermula dengan kuliah Maghrib oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ini telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 1 Oktober 2010. Ia kemudiannya telah diisi oleh beberapa slot tarbiyah bermula dengan program taujihad tarbiyatur ruuhiyah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala Presiden PAS telah mengkhatamkan tafsir surah al-Hujarat selama tiga hari, di samping amanat khas amal tarbawi oleh Ahli Parlimen Ikhwanul Muslimin Mesir, Sheikh Dr Abdul Maqsud Muhammad Askar serta taujihad amal tarbawi dan amanah harakah Islamiyah oleh Murabbi PAS, Ustaz Haji Yahya Othman dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Harun Taib. Pidato-pidato lain telah disampaikan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar Chik (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 1989-1999), Haji Salahuddin Ayub (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 2003-2007) dan Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat).

Dengan kehadiran melebihi 5,000 peserta, termasuk peserta yang diwajibkan iaitu Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan, ijtimak ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan PAS sebagai sebuah harakah tarbiyah, dakwah dan siyasah. Ijtimak ini kemudiannya berakhir pada 3 Oktober 2010 dengan Deklarasi Ijtimak Tarbawi yang menggariskan enam perkara dalam memperkasakan tarbiyah, iaitu:

I. Bertekad memperkasakan tarbiyah dengan memahami dan melaksanakan program tarbiyah secara berterusan dan konsisten di dalam Dewan Pemuda PAS di seluruh peringkat;
II. Menjadikan tarbiyah merentasi tanzim, dengan erti kata nilai-nilai tarbiyah akan menguasai dan mengoreantasikan seluruh kegiatan lajnah dan jemaah;
III. Memperkukuhkan program usrah di seluruh peringkat sebagai asas dan akar kepada semua program kepartian dan politik yang lain;
IV. Demi memperkasakan tarbiyah di dalam Dewan Pemuda, maka kita sebagai peserta program Ijtimak Tarbawi 2010 bersetuju untuk mengadakan program Ijtimak Tarbawi sebagai acara tahunan;
V. Menyokong konsep kepemimpinan ulamak dan mempertahankannya untuk menerajui parti PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang memayungi umat Islam di Malaysia; dan
VI. Membina diri dan syakhsiyah dengan terus mendalami ilmu-ilmu Islam mengikut acuan al-Quran dan as-Sunnah serta hikmah para ulamak dan pejuang Islam di sepanjang zaman.

Setelah Ijtimak Tarbawi Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir pada 3 Oktober 2010 dengan semangat deklarasi yang mahu ia dijadikan acara tahunan, Ijtimak Tarbawi 2.0 telah diadakan pada 28-30 Oktober 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Selangor. Ia kemudiannya diikuti oleh Ijtimak Tarbawi 3.0 di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi, Pagoh, Johor pada 4-6 Oktober 2013 dan Ijtimak Tarbawi 4.0 di Kompleks Yayasan an-Nahdah, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 5-7 Disember 2014.

Ijtimak Tarbawi tidak diadakan pada tahun 2012 kerana seluruh jentera parti memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berlangsung pada awal 2013, sedangkan Ijtimak Tarbawi 5.0 yang dirancang untuk diadakan di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 20-21 November 2015 bersempena dengan ulang tahun ke-30 Peristiwa Memali telah ditangguhkan, dan ijtimak tarbawi berikutnya dijangka akan diadakan di Pernu, Melaka pada 14-16 Oktober 2016.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 3/10/2016

Share on Myspace