Sudah lama Kelantan usaha struktur bekalan air

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berunding bagi menstrukturkan semula projek bekalan air di negeri ini bermula sejak 2008, kata anggota Exco kerajaan negeri Datuk Hanifa Ahmad.

Beliau berkata, rundingan bersama Kementerian Teknologi Hijau dan Alam Sekitar (Kettha) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sudah lama dilakukan.

"Antara tempoh ini ada banyak gangguan, ada juga di antara kita menolak usaha penstrukturan semula dengan PAAB, lebih minat mencari pihak swasta.

"Selain itu, bagi membaikpulih AKSB juga, kerajaan pusat payah hendak menerima syarat kita dan kita juga payah hendak menerima syarat mereka," katanya pada taklimat penstrukturan semula industri bekalan air di Dewan Teratai, petang ini.

Taklimat itu disertai wakil-wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Penyelia Dun yang disampaikan pemangku Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Ir Wan Zamri Wan Ismail.

Perjanjian penstrukturan semula ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada 14 September lalu. Kelantan merupakan negeri kelapan melakukan penstrukturan semula pengurusan industri air. - HARAKAHDAILY 3/10/2016

Share on Myspace