Kelantan tidak pernah abai pembangunan Orang Asal

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan masyarakat Orang Asal termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerajaan negeri sudah mewartakan tanah untuk Orang Asal dan melaksanakan perancangan pembangunan menerusi Yayasan Tok Kenali.

Bagaimanapun katanya mereka menuntut supaya kerajaan negeri mewartakan tanah seluas 19,720 hektar di Hutan Simpan Balah berdekatan Pos Gob, Gua Musang daripada aktiviti pembalakan.

“Kerajaan negeri perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan itu.

"Ia kena buat mengikut prosedur, tak boleh cakap begitu sahaja, saya cadangkan mereka datang berjumpa kerajaan negeri.

"Ada benda yang boleh kita pertimbangkan dan ada benda yang kita tidak boleh pertimbangkan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Tinggi Kelantan di Hotel Grandriver View di sini, hari ini.

Kelmarin, dua syarikat pembalakan yang beroperasi di Hutan Simpan Balah diarah menghentikan sementara operasi ekoran masyarakat Orang Asal mendakwa kawasan itu diceroboh pembalak.

Mohd Amar berkata, beliau difahamkan sebelum ini sudah wujud masalah berkaitan namun Jabatan Perhutanan berjaya menyelesaikannya.

"Timbul kekocohan yang kedua. Benda itu tidak sampai kepada kerajaan negeri, hari ini baru saya dengar," jelas beliau. - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace