Pencemaran: Loji Semenyih ditutup kali keempat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Loji rawatan air Semenyih terpaksa ditutup semula buat kali ke-4 pada jam 10 pagi ini akibat pencemaran bau yang berpunca daripada premis di Sungai Lalang, Semenyih.

Ekoran ini, beberapa daerah dan kawasan akan mengalami gangguan bekalan air iaitu di Daerah Hulu Langat (Bangi, Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rincing), Daerah Kuala Langat (Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbaya dan Teluk Panglima Garang),  Daerah Petaling (USJ1-27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang), dan Daerah Sepang Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Height, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sg Merab).

Menurut Syabas di dalam kenyataannya, mereka telah mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Semenyih akibat daripada sebuah premis yang terletak di Batu 22 1/4 Jalan Sungai Lalang Semenyih.

Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang masing-masing akan mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha tersebut.

Menurut Syabas bantuan air kecemasan akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air.

Bagaimanapun pengguna di minta mendapatkan maklumat terkini di www.syabas.com.my atau menghantar sms ke alamat premis 15300 untuk mendapatkan bantuan bekalan air kecemasan.

Jumaat 30 September baru-baru ini bekalan air di beberapa kawasan kembali pulih setelah seminggu menghadapi gangguan air, dan hari ini sekali lagi penduduk terpaksa berdepan dengan masalah gangguan air buat kali keempat.

Notis gangguan ini telah menjadi viral di 'group whatapps' dan masing-masing penduduk melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa berhadapan masalah ini lagi sekali. - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace