Pencemaran sungai: Kerajaan negeri tidak bertolak ansur

HARAKAHDAILY | .

SHAH ALAM: Bekalan air yang bersih dan selamat merupakan satu keutamaan yang tiada kompromi bagi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika beliau bertindak dalam tempoh masa kurang 8 jam terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas pencemaran Sungai Semenyih.

Sebuah tapak bersebelahan SR Building Materials Sdn Bhd telah dikenal pasti menjalankan aktiviti tanpa lesen. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menyita premis dan semua peralatan. Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Hulu Langat juga diarahkan untuk merampas tanah tersebut serta merta.

“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak sama ada individu atau syarikat yang sabotaj atau mencemarkan sungai,” kata Azmin.

Pagi ini seawal jam 8:30 pagi, Menteri Besar bersama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), MPKj dan PTD Hulu Langat telah tiba di Batu 22 1/4, Sungai Lalang, Semenyih untuk bertindak ke atas pihak yang terbabit dalam pencemaran sungai.

Menteri Besar telah mengarahkan MPKj dan PTD mengambil tindakan dalam tempoh 7 hari ke atas pemilik tanah dan aktiviti industri di lembangan sungai, serta Air Selangor untuk menggunakan segala aset bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air dan mengambil langkah mengurangkan tempoh penutupan.

Bagaimanapun, Menteri Besar turut menegur Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang gagal turun segera ke lokasi untuk mendapatkan sampel cemar semenjak malam tadi.

“LUAS dan Air Selangor telah berada di lokasi semenjak malam tadi apabila pasukan pemantauan mengesan pencemaran bau. JAS dimaklumkan seawal jam 1 pagi tentang perkara ini, tetapi jam 10 pagi ini baru JAS muncul untuk mengambil sampel cemar.

“Kami menggesa Jabatan Alam Sekitar supaya bertanggungjawab untuk memastikan pematuhan undang undang oleh semua industri di lembangan sungai.

“JAS harus bertindak cepat dan tegas terhadap pihak yang mencemarkan sungai,” tegas Azmin.

Katanya, untuk jangka panjang, kerajaan negeri akan melantik pasukan pemantauan sungai dan penguatkuasaan yang ditempatkan di beberapa lokasi.

Azmin juga merakamkan penghargaan pada pasukan pemantauan sungai Air Selangor dan LUAS yang menjalankan rondaan dan pemantauan 24 jam semenjak dua minggu lalu.

Pejabat Akhbar Menteri Besar Selangor - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace