Presiden PAS seru selamatkan Malaysia dengan Islam

HARAKAHDAILY | .

PRESIDEN PAS SERU SELAMATKAN MALAYSIA DENGAN ISLAM (4 OKTOBER 2007)

PADA hari ini dalam tahun 2007, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyeru rakyat supaya menyelamatkan Malaysia dengan Islam. Beliau membuat seruan ini sebagai respons terhadap Kempen Selamatkan Malaysia yang digerakkan oleh PAS sejak Jun 2007 dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, yang kemudiannya menjadi tema parti-parti pembangkang dalam memobilisasikan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-11, terutama oleh Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2007. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertegaskan bahawa kezaliman, rasuah, salah laku, sekatan ke atas Islam sehinggalah menindas gerakan Islam yang dilakukan oleh Kerajaan BN, menjadi sebab mengapa negara ini wajib diselamatkan dengan Islam.

Pada 21 Jun 2007, Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki telah mengumumkan bahawa PAS akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 pada 31 Ogos 1957 dengan program "Kempen Selamatkan Malaysia." Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata kempen ini diadakan kerana kemerdekaan negara semakin terhakis dan kedaulatan negara semakin hilang selepas 50 tahun diperintah oleh BN. Pelancaran Kempen Selamatkan Malaysia telah dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 4 Ogos 2007 di Maahad Tahfiz wa Tarbiyah (MTT), Tok Jiring, Terengganu. Ia kemudiannya diikuti oleh pelbagai program yang dibuat oleh pelbagai peringkat organisasi PAS dengan tema Selamatkan Malaysia.

Sepanjang tahun 2007, Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu penyelewengan, salah laku dan rasuah yang besar. Antaranya ialah isu video klip seorang peguam dengan seorang hakim kanan, isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu, isu Laporan Audit Negara 2006 yang mendedahkan penyelewengan dan salah laku kerajaan, isu pembelian kapal selam Scorpene dan 18 buah jet pejuangan Sukhoi MKM-30 yang dikatakan melibatkan rasuah dan salah laku serta isu-isu sekatan ke atas kebebasan yang berleluasa. Atas asas ini, PAS telah menjadi program Kempen Selamatkan Malaysia sebagai agenda besar sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

Dalam pada itu juga, tema Selamatkan Malaysia turut menjadi tema perjuangan parti-parti pembangkang dalam menghadapi kezaliman BN, terutama setelah BERSIH ditubuhkan pada 23 November 2006. BERSIH yang turut disokong oleh PAS bertujuan untuk memobilisasikan tenaga rakyat dalam menuntut pilihan raya yang bersih terutama bagi pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada 2008. Perhimpunan BERSIH yang diadakan pada 10 November 2007 juga bertemakan Selamatkan Malaysia. Boleh dikatakan perhimpunan BERSIH ini menjadi kemuncak gerakan rakyat yang dimulakan oleh PAS pada 4 Ogos 2007 untuk Selamatkan Malaysia.

Bagi menghadapi arus kebangkitan rakyat ini, pada 4 Oktober 2007, Presiden PAS dalam satu ceramahnya kepada ahli-ahli dan penyokong PAS telah menjelaskan latar belakang kezaliman dan penyelewengan yang berlaku di seluruh dunia. Beliau menyatakan dunia Barat sangat takut kepada kebangkitan semula Islam, dan mereka berusaha menyokong aliran-aliran Islam yang liberal seperti Islam Hadhari dan memberi tekanan kepada gerakan Islam di seluruh dunia, supaya perubahan politik yang berlaku tidak menguntungkan Islam atau mengembalikan Islam sebagai agama yang berkuasa. Barat memperkenalkan pemikiran liberal dan perjuangan kebebasan asasi yang tidak berpaksi kepada agama untuk menangani kebangkitan Islam. Atas sebab itu, Presiden PAS pada 4 Oktober 2007 menyatakan wajib untuk PAS menyelamatkan Malaysia dengan Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 4/10/2016

Share on Myspace