Jaringan IT Prihatin cadang Sabah lantik 100 pegawai IT

HARAKAHDAILY | .

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Jaringan IT Prihatin (JITP) Malaysia, Mohd Shuhaimi Embong mencadangkan Kerajaan Sabah melantik 100 orang Pegawai IT sepenuh masa untuk menyelaras program Teknologi Maklumat (IT) Dun dan parlimen sepenuh masa untuk menjadi pemangkin kepada mengurangkan jurang digital yang berlaku di negeri Sabah.

“Bagaimana jumlah 100 perjawatan IT itu diperlukan dengan mengambil kira seorang pegawai IT bagi setiap dun. Sabah ada 60 dun (akan ditambah 13 dun lagi, menjadi 73 dun) dan 25 parlimen, kata beliau ketika berucap membentangkan cadangannya bertajuk ‘ICT dan Cabaran Jurang Digital’ pada kluster ICT dalam Kongres Rakyat Sabah disebuah hotel terkemuka di Likas.

Sekiranya 1 orang pegawai IT Dun bagi setiap Dun, bermakna 73 orang pegawai IT Dun diperlukan dan ditambah lagi dengan 25 orang Penyelia IT Parlimen (atau mungkin Penolong Pengarah IT Parlimen) bagi mengurus sebanyak 25 Parlimen.

Manakala 2 orang lagi diperlukan sebagai Pengarah dan Timbalan Pengarah IT diperingkat Negeri Sabah untuk membentuk sebuah Jabatan atau Unit Pembangunan ICT Masyarakat. Jadi jumlah yang diperlukan semuanya adalah 100 orang”

“Saya juga turut mengharapkan kerajaan negeri Sabah turut mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh Kelantan dan Terengganu bagi memberikan peluang kepada graduan Teknologi Maklumat (IT) berkhidmat secara langsung kepada masyarakat,” katanya lagi.

Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia juga berharap Kerajaan Negeri Sabah  mempertimbangkan dan memperbanyakkan program untuk ‘Memasyarakatkan IT’ dengan segera dan benar-benar berharap 1200 komuniti Wifi diluar Bandar seperti yang dirancangkan oleh Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah benar-benar berfungsi dilapangan dan bukannya sekadar angka di atas kertas sahaja.

Pertubuhan Jaringan IT Prihatin juga menyarankan kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula untuk menjadikan Kota Belud sebagai tapak Koridor Raya Multimedia (MSC) Sabah pada fasa ke-4 dalam Gerbang Antarabangsa Malaysia Timur (EM-IIG) yang dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta melalui Private Fund Investment (PFI) sebanyak RM 850 juta.

Kenapa MSC tidak dibangunklan di KKIP (Kota Kinabalu Industrial Park) yang telah sedia ada supaya lebih cepat dan kos pun kemungkinan lebih murah kerana sebahagian infrastruktur ICT telah sedia ada. – HARAKAHDAILY 5/10/2016

Share on Myspace