Kerjasama baru melalui Gagasan Sejahtera

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Kewujudan pelbagai parti-parti baru menjelang pilihan raya merupakan satu fenomena rancaknya sistem demokrasi dalam negara. Semuanya ingin bertanding pada pilihan raya.

Selain hala tuju dan matlamat penubuhan dan dasar parti, semua parti seharusnya fokus dalam menyediakan jentera parti terlebih dahulu sebagai strategi pilihan raya yang paling utama sebelum memikirkan soal kerusi.

Keghairahan untuk bertanding tanpa didukungi oleh jentera dan petugas parti sendiri tidak akan mampu bertahan lama apatah lagi apabila ghairah untuk mendapatkan kerusi sahaja.

PAS kini bersama Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan dan masih bertahuluf dengan PKR.

Oleh itu, PAS akan mengutamakan Gagasan Sejahtera berbanding gabungan dengan parti-parti lain.

Apa bentuk kerjasama baru dengan mana-mana parti baru mesti dapat diterima oleh parti dalam Gagasan Sejahtera sebagaimana yang telah dipersetujui dalam muafakat yang telah dimeterai.

Oleh itu, sebarang ura-ura kerjasama PAS bersama mana-mana parti baru adalah tidak rasmi sehingga adanya kenyataan rasmi bersama Gagasan Sejahtera.

Pintu PAS sentiasa terbuka dengan kerjasama dengan mana-mana parti baru yang sudi bersama memperjuangkan matlamat yang selari dengan Gagasan Sejahtera dan membawa nilai tambah kepada semua parti di Gagasan Sejahtera dan juga rakyat dan bukan jenis mengambil kesempatan semata-mata.

Setakat ini, PAS akan pertahankan kerusi yang menjadi tradisi parti, yang kebanyakannya bertembung dengan Umno, dengan segala kemampuan yang ada.

PAS akan terus menggerakkan jentera parti dengan kemampuan keikhlasan dan kesungguhan kerja ahli dan petugas parti.

Insya-Allah di atas kesungguhan dan keikhlasan ini beserta strategi kerja yang tersusun dan istiqamah dalam usaha memperbaiki kekurangan, kita yakin Allah akan mengurniakan kemenangan  kepada perjuangan ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Madinah al Munawarah
5 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 5/10/2016

Share on Myspace