Tuduhan C4 terhadap Kelantan tidak berasas

HUZIR SULAIMAN | .

SAYA agak terkejut dengan tuduhan melulu Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel terhadap Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang dilaporkan FMT khususnya terhadap Datuk Menteri Besar seolah-olah segala kenyataan rasmi yang dibentangkan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri berkenaan isu pembalakan yang melibatkan Orang Asal baru-baru ini adalah satu sindrom penafian.

Malah Datuk MB Kelantan dan Kerajaan Negeri telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi untuk sedia disiasat SPRM 25 jam sehari, bukti jelas ketelusan dan keterbukaan Kerajaan Negeri dalam apa juga isu khususnya yang melibatkan kepentingan Rakyat di Negeri itu.

Malah tuduhan C4 bahawa pembalakan punca kejadian banjir luar biasa juga tidak pernah dibuktikan dan lebih bersifat andaian peribadi beliau semata-mata, serta amat bercanggah dengan laporan rasmi yang telah dibentangkan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi berkenaan faktor utama kepada bencana itu.

Atas asas bukti apa tuduhan yang dilemparkan C4 terhadap Kerajaan Negeri bahawa pesalah pembalakan haram tidak menerima hukuman dan tidak ada tindakan penguatkuasaan ke atas pesalah? Untuk makluman C4, tanggungjawab penguatkuasaan bukan sahaja terletak di bawah Negeri semata-mata, tanggungjawab itu juga terletak di bawah Kementerian serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Walaupun PAS mengambil sikap terbuka di atas semua kritikan, kami berharap C4 dapat berlaku adil dengan tuduhan yang dilemparkan. Berlaku adil dalam erti kata:

1. Sentiasa berhubung dengan wakil Kerajaan Negeri ataupun LATAS untuk mendapatkan maklumat yang sebenar.

2. Kritikan C4 tidak tertumpu di Kelantan sahaja. Seharusnya kritikan C4 juga tertumpu kepada Negeri-negeri lain yang terlibat dengan aktiviti pembalakan lebih-lebih lagi di Sarawak, sebuah Negeri pengeluar balak yang terbesar di Negara ini iaitu hampir 10 kali ganda pengeluarannya (Hampir 60% dari keseluruhan pengeluaran balak Negara) jika dibandingkan dengan Kelantan.

3. Mengambilkira isu pembalakan haram juga berlaku di Negeri lain.

4. Mengambilkira isu Orang Asal juga berlaku di Negeri lain khususnya di Pahang.

5. Mengambikira bahawa pembalakan di Hutan Simpanan Kekal (HSK- Pengeluaran) adalah salah satu aktiviti yang tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Tanah Negara selagi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dipatuhi semua Negeri yang terlibat.

6. Kritikan C4 seharusnya juga dilemparkan terhadap isu Alam Sekitar yang lain khususnya di Pulau Pinang (penggodolan bukit), di Johor dan Semenyih (pencemaran air) serta perlombongan Bauksit di Pahang.

7. Mengambilkira sektor pembalakan sebagai salah satu sumber utama pendapatan Negeri memandangkan penafian Royalti Minyak dan Gas kepada Kerajaan Negeri sehingga ke hari ini.

8. Mengambilkira sikap positif Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah 2 tahun tidak meluluskan sebarang projek ladang hutan di Negeri itu.

Mudah-mudahan tuduhan rambang C4 kepada Kelantan semata-mata tidak disalah tafsir sebagai satu tindakan yang tidak ikhlas dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta perlindungan hak asasi Orang Asal di seluruh Negara, tetapi dilihat lebih kepada tindakan untuk memenuhi agenda politik atau dendam peribadi terhadap sebuah Kerajaan yang sudah lama ditadbir PAS di Negeri itu.

Walaupun begitu, pintu PAS sentiasa terbuka kepada C4 untuk duduk bersama dan berbincang untuk mencari solusi dalam isu yang berkaitrapat dengan pembalakan, projek ladang hutan serta isu alam sekitar yang lain demi kepentingan Rakyat di Negeri itu. – HARAKAHDAILY 5/10/2016

(Penulis adalah Setiausaha Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS)

Share on Myspace