Tiada laporan virus zika di Kelantan - Dr Ramli

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU:  Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan dan ngo negeri, Dr Ramli Mamat berkata, Kelantan tiada rekod virus zika.

Katanya, sejak gejala itu dikenal pasti melanda negara ini 1 September lalu dengan penemuan satu kes, namun beliau bersyukur Kelantan bebas dari virus itu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata sejak dikesan adanya virus zika di Malaysia sehingga 30 September lalu, sebanyak tujuh kes telah ditemui.

“Masing-masing dikesan di Johor dan Sabah sebanyak dua kes, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing satu kes,”ujarnya.

Ramli seterusnya berkata, pesakit yang terkena jangkitan virus ini secara umumnya tiada sebarang tanda-tanda dikesan.

“Bagaimanapun gejala ringan seperti ruam, demam, radang kelopak mata dan sakit pada bahagian sendi,”ujarnya.

Beliau memberitahu, maklumat itu diperoleh hasil taklimat berkaitan demam denggi dan zika di negeri ini pada Selasa lalu.

Taklimat tersebut membabitkan agensi kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Ketua Jajahan dan  wakil badan bukan kerajaan (Ngo).

Berkenaan kes denggi di negeri itu pula beliau berkata Kelantan adalah negeri keempat tertinggi selepas Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sebanyak 182 kematian sehingga 24 September tahun ini akibat wabak itu di seluruh negara dan lapan orang di Kelantan,”ujarnya.

Menurutnya lagi wabak tersebut tidak akan berakhir sekiranya sikap masyarakat khususnya rakyat Kelantan tidak berubah. Wabak itu menular kerana sikap masyarakat yang tidak cakna terhadap kebersihan. – HARAKAHDAILY 6/10/2016

Share on Myspace