Muslimat sokong Presiden PAS kerjasama demi Islam

HARAKAHDAILY | .

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan di hadapan lebih kurang 10,000 orang peserta Himpunan Harapan Semua – PAS Ganti Umno (HARAP – PGU) 3.4 di Dataran Pekan Kemasik bahawa parti itu sedia menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti untuk membolehkan Islam memerintah.

Justeru, seluruh saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong penuh pendirian Tuan Guru Presiden dengan penuh iltizam dan keyakinan. Dewan Muslimat PAS Malaysia yakin dan percaya asas kepada kerjasama politik yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden hanyalah untuk menegakkan hukum-hukum dan perundangan Islam sesuai dengan acuan al-Quran.

PAS tidak akan sesekali berganjak daripada dasar penubuhannya iaitu Islam. Hal ini secara konsisten ditunjukkan oleh Tuan Guru Presiden PAS yang akan membawa Rang Undang-Undang Akta 355 dalam sidang parlimen tidak lama lagi.

Di samping itu, keyakinan juga harus ditanamkan kepada seluruh warga Malaysia bukan Islam bahawa Akta 355 ini telah dijamin oleh Perlembagaan Malaysia hanya untuk orang Islam sahaja.

Oleh yang demikian, orang bukan Islam tidak perlu sesekali khuatir tentang RUU 355 ini. Selain itu, orang Islam khususnya Ahli Parlimen perlu sedar bahawa mereka tidak perlu rasa takut malah mereka seharusnya menyokong penuh usaha Ahli Parlimen Marang ini.

Hukum Islam itu adil dan tidak pernah zalim, berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “Dan apabila kalian memutuskan hukum di antara manusia, hendaklah kalian memberikan keputusan hukum dengan adil".

Dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: "Janganlah kebencian kalian terhadap suatu kaum menyeret kalian sehingga berbuat tidak adil. Berbuat adillah! Sesungguhnya hal itu (keadilan) lebih dekat kepada ketaqwaan".

Sekali lagi ditegaskan, Dewan Muslimat PAS Malaysia sentiasa istiqamah berdiri teguh di belakang Tuan Guru Presiden selari dengan tuntutan agama agar mentaati perintah Allah, Rasul dan pemimpin dalam kalangan kita.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
5 Muharram 1438 / 6 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 6/10/2016

Share on Myspace