Martabat bahasa selamatkan jati diri Malaysia

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) menjunjung titah Baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 5 Oktober 2016, bahawa penggubalan dasar pengajaran Bahasa Inggeris hendaklah tidak mengetepikan Bahasa Melayu bahkan menjamin kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Satu ketika Bahasa Melayu menjadi lingua franca namun kini terkulai layu di bumi sendiri atas alasan mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris. Tidak dinafikan Bahasa Inggeris penting, namun ianya harus selari malahan perlu lebih lagi usaha bagi memartabatkan Bahasa Melayu.

Pelajar di sekolah bukanlah bahan eksperimen untuk diuji sesuatu dasar baru yang diperkenalkan seperti PPSMI dan DLP. Amat malang apabila pelajar sama ada di peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti sudah mula kurang mengetahui istilah, perbendaharaan kata, peribahasa, tatabahasa dan simpulan bahasa dek kerana ibu bapa, guru, pensyarah dan masyarakat mengutamakan Bahasa Inggeris dalam pendidikan dan pekerjaan.

Negara maju seperti Jepun, Jerman, Perancis juga negara jiran seperti Thailand dan Indonesia menjadikan bahasa mereka sebagai nadi jati diri negara. Malahan mereka berbangga dengan menjaga bahasa mereka. Malaysia pada hari ini mengikut arus pemodenan teknologi namun meninggalkan bahasa atas kejanggalan menggunakannya samada dalam bidang teknologi, sains, matematik dan lain-lain.

Generasi muda kini juga dihidangkan dengan filem, cerita, novel dan lirik lagu yang menggunakan bahasa 'rojak' di samping pencemaran bahasa berlaku menerusi jaringan media sosial yang berleluasa seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook dan Twitter yang semakin biasa diamalkan.

Justeru itu, DPPN Perak mendesak agar Kerajaan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan dalam masa yang sama perbendaharaan kata haruslah diperkayakan lagi seiring perkembangan masa, teknologi dan globalisasi.

DPPN Perak juga menyeru agar setiap individu dan masyarakat mengukuhkan jati diri dengan pembudayaan Bahasa Melayu dalam perbualan harian. Malahan sektor pendidikan dan sektor pekerjaan juga harus mengutamakan Bahasa Melayu baik dari sudut pembelajaran, temuduga, kerja dan aktiviti.

Mohd Akmal Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
5 Muharram 1438 / 6 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 6/10/2016

Share on Myspace