Pemimpin Melayu mahu jatuhkan kerajaan Islam

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Ada gerakan Islam luar negara terkejut apabila mendapat tahu ada pemimpin Melayu mahu menjatuhkan Kerajaan Islam, di sini.

Pemangku Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata pihak terbabit menjalankan gerakan bagi melemahkan kerajaan Islam di Kelantan.

"Wakil gerakan dari Turki dan Palestin terkejut bila mendapat tahu ada orang Islam sendiri yang mahu menjatuh kerajaan Islam Kelantan.

"Mereka terkejut kerana tidak menjangka ada orang Islam sendiri yang mahu menjatuhkan kerajaan Islam di Kelantan," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pecah tanah bangunan baharu Pejabat PAS Gua Musang di sini, hari ini.

Bangunan tersebut melibatkan kos kira kira RM1.5 juta. Ia dibina di kawasan hampir seekar.

Bangunan tersebut akan dibina berhampiran pejabat PAS yang ada sekarang di Bandar Lama Gua Musang.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad, timbalannya Abdullah Husin, Penyelia Dun Galas Shuhaimi Mat Deris dan Penyelia Dun Paloh Noraini Husin dan wakil-wakil kaum.

Baru-baru ini wakil Palestin dan Turki mengunjungi hormat Menteri Besar.

Pada kunjungan Ustaz Ahmad menyampaikan sumbangan kepada wakil asing terbabit. - HARAKAHDAILY 6/10/2016

Share on Myspace