Pegawai SPRM, audit perlu ada dalam jawatankuasa

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menegaskan mana-mana penawaran tender oleh kerajaan perlu mempunyai satu jawatankuasa atau panel khas bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, panel jawatankuasa tersebut perlu dianggotai pegawai Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun pegawai daripada Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes rasuah terbaru yang menggemparkan negara dua hari lepas melibatkan dua orang pegawai tertinggi iaitu Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.

Tambahnya,  pemegang jawatan utama tidak perlu terlibat di dalam pembuatan keputusan terhadap penganugerahan sesebuah projek.

"Pihak Eksekutif hanya perlu menyatakan akan kepentingan projek-projek tersebut. Tetapi penawaran tender terdiri daripada satu jawatankuasa atau panel khas, yang dianggotai pegawai-pegawai SPRM ataupun pegawai dari jabatan audit," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar SPRM diberi kuasa pendakwaan  sepenuhnya bagi mempercepatkan proses guaman dan tidak perlu lagi menunggu pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara.

Melihat kepada karenah birokrasi yang berlaku di dalam negara Dr Ali juga menggesa kerajaan agar mengurangkan sikap tersebut kerana ianya akan menggalakkan rasuah di dalam kerajaan.

Justeru tegas beliau, kerajaan perlu ada satu mekanisma bagi penjawat awam agar tidak terlalu lama memegang jawatan kerana mempunyai kecenderungan untuk menyalahgunaan kuasa.

Pada 5 Oktober, SPRM merampas RM112 juta wang tunai dan wang yang disimpan di dalam bank susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa, melibatkan RM3.3 bilion dana projek Kerajaan Pusat

Jumlah tersebut merangkumi RM52 juta wang tunai dan RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan, menjadikan rampasan terbesar SPRM setakat ini.

Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam tangan mewah. – HARAKAHDAILY 7/10/2016

Share on Myspace