Kerajaan negeri temui masyarakat Orang Asal

ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri bakal mengadakan pertemuan bersama orang Asal tanpa campurtangan pihak luar bagi mengenalpasti masalah yang timbul dalam kalangan mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah bersedia dan beberapa tarikh akan dikenalpasti bagi mengadakan pertemuan itu.

"Saya memang bersedia untuk bertemu Orang Asal tetapi jangan ada parti politk yang masuk campur, kita bertemu betul-betul dengan wakil mereka.

"Pertemuan dari hati ke hati bagi mengenalpasti apa sebenar masalah supaya kita boleh selesaikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah di Medan Ilmu di sini.

Tambah beliau lagi, pihaknya sedar bahawa isu yang timbul merupakan masalah salah faham dan hasutan pihak luar terhadap isu pembalakan.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mempunyai laporan dan perkara itu boleh dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kalau isu itu isu yang benar, kita tidak menjadi masalah sebab kalau contohnya kita bangkit isu alam sekitar, kita sudah ada JAS yang bertugas mengawasi kerja-kerja pembalakan antaranya.

"Jadi tidak sepatutnya berbangkit sebab dia (JAS) akan membuat laporan dan bertindak. Oleh itu, kalau nak kata kerajaan tidak peduli itu tidak betul," tegas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor itu turut mengakui wujud sesetengah tempat yang terjejas dengan aktiviti pembalakan, namun ia tidak menyebabkan pencemaran sehingga air tidak boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 7/10/2016

Share on Myspace