RUU 355: PAS Larut jumpa ahli parlimen

HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: PAS Kawasan Larut telah bertemu ahli parlimennya yang diadakan di Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini.

Pertemuan lebih sejam itu diketuai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Larut, Mohd Akmal Kamarudin berlangsung dalam suasana yang harmoni.

Pelbagai isu tempatan dan nasional dibincangkan dalam pertemuan tersebut, pagi tadi.

Menurut Akmal, pertemuan itu diadakan bertujuan untuk memohon Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar menyokong Pindaan Akta 355 yang akan dibahas dalam sesi parlimen tidak lama lagi.

"Kita amat berharap agar beliau menyokong pindaan ini dan seterusnya dengan undi beliau Mahkamah Syariah akan dapat diperkasakan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini yang menggesa agar Mahkamah Syariah diperkasakan, daripada pertemuan tadi pihak kami yakin beliau akan menyokong," ujar beliau selepas pertemuan tersebut.

Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri KPDNKK dan Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam pertemuan tersebut bersetuju agar Mahkamah Syariah diperkasakan demi menjamin umat Melayu Islam bebas daripada maksiat.

"Kenapa bila undang-undang lain kita boleh sokong sedangkan undang-undang untuk memperkasakan Mahkamah Syariah ini kita tak boleh nak sokong," ujarnya. - HARAKAHDAILY 7/10/2016

Share on Myspace