Tanah Mada: Jangan yang dikendong berciciran

HARAKAHDAILY | .

Isu tukar status tanah MADA: Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Kenyataan YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa status 'Kedah Jelapang Padi' menyekat pembangunan negeri serta meletakkannya berkedudukan miskin, adalah kenyataan yang memalukan rakyat kedah.

Sewajarnya selaku ketua kerajaan, beliau perlu berbangga dengan sumbangan rakyat Kedah memenuhi permintaan beras negara, bahkan berikhtiar mempertingkat pengeluaran padi sehingga melebihi 30 peratus seperti yang disasarkan.

Persoalan untuk dihadapkan kepada Menteri Besar, apakah jaminan penukaran status tanah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); daripada "pertanian" kepada "industri" dapat memajukan negeri Kedah?

Mengikut laporan Statistik Kedah Sejahtera 2011, keluasan tanah tanaman padi bagi Kedah adalah 108,693 hektar. Jika benar berlakunya pertukaran status tanah, berapakah keluasan tanah yang tinggal kepada MADA untuk tanaman padi?

PAS Kedah mencadangkan supaya diadakan satu kajian terperinci mengenai pembangunan ekonomi berhubung penggunaan tanah komersial kerana Kedah perlu juga mempertahankan 'food seceurity' negara.

Buat masa ini kerajaan disaran supaya melihat semula cadangan pembinaan kawasan industri untuk perkilangan kerana realiti ekonomi tidak menentu seperti ketidakstabilan nilai ringgit, pemberhentian pekerja, penutupan kilang-kilang serta pelbagai kegawatan. Dikhuatiri pertukaran status tanah MADA umpama 'yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran'.

Mengalihkan lokasi pertanian padi sedia ada bukanlah kerja mudah. Kerajaan seharusnya mengoptimumkan kawasan industri sedia ada di negeri ini, di samping meningkatkan produktiviti.

Nasib para petani juga hendaklah difikirkan akibat pertukaran status ini menjadikan mereka hilang mata pencarian.

Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
7 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 7/10/2016

Share on Myspace