Apakah Kedah akan kaya bila sawah menjadi tapak kilang?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

ATAS kesedaran dan pengetahuan yang tinggi tentang jaminan keselamatan makanan (food security), Menteri Besar Kedah ke-10, Ustaz Azizan Abdul Razak telah membatalkan pengambilan 4,300 ekar tanah sawah dalam kawasan MADA di Sg Kering, Sg Limau dan Sg Daun Yan untuk projek ZIPY pada 2008. Pada 2009, dunia menghadapi krisis bekalan makanan, mengancam kehidupan jutaan umat manusia di beberapa benua.


Beberapa tahun sebelumnya, krisis yang sama telah telah terjadi, membangkitkan kesedaran global bahawa pertanian makanan tidak boleh diabaikan dalam usaha manusia mengejar pembangunan dan kemajuan dalam industri perkilangan.

Negara-negara maju dalam industri dan kecanggihan teknologi seperti Jepun, Amerika Syarikat, Australia, China dan Belanda membuktikan bahawa kemajuan dan kemakmuran dalam sektor industri mesti dicapai bersama dengan kemajuan dalam sektor pertanian.

Kemajuan teknologi, R&D, inovasi jentera, benih, baja, dan teknik pertanian adalah ramuan penting pembangunan sektor pertanian. Keseimbangan kemajuan ini telah meletakkan negara-negara maju itu dalam kestabilan, bukan saja kepada ancaman peperangan atau sekatan perdagangan, tetapi ia juga menjadi 'senjata' yang paling ampuh menghadapi sebarang krisis antarabangsa dengan penguasaan kepada penghasilan dan eksport makanan.

Negara Belanda hanya bersaiz negeri Pahang, tetapi menjadi pengeluar dan pengeksport hasil pertanian terbesar di Eropah. Nilai eksport produk pertaniannya mencecah €78 bilion euro setahun. Mengambil pengalaman ini, PAS Kedah menggagaskan idea menjadi Kedah sebagai 'Belanda Timur', sesuai dengan realiti gunatanah dan muka bumi Kedah Darul Aman.

Kedah dibawah PAS bekerjasama rapat dengan NCIA untuk menjayakan NCER sebagai hub penghasilan makanan negara. Kedah meluluskan bajet terbesar dalam sejarah negeri kepada Jabatan Pertanian bagi menjayakan beberapa langkah melonjakkan sektor pertanian makanan yang mendatar sejak beberapa dekad.

Tanaman nanas, ternakan ikan air tawar dan air laut, ternakan lembu, baik pulih dusun, membina pusat pengumpulan pertanian dan kilang mengetin melalui GLC adalah permulaan kepada gagasan Belanda Timur.

MADA tidak dapat menerima sentuhan kerajaan negeri pada masa itu kerana ia adalah agensi pusat yang tiba-tiba mengasingkan diri setelah kerajaan negeri beralih kepada PAS. KEDA, LADA, FAMA, Felcra, FELDA, dan lain-lain agensi pusat pun sama juga walaupun tumbuh membesar dari tanah negeri ini.

Biarpun menghadapi cabaran dari pelbagai sudut, termasuk kecaman dan ejekan dari kelompok 'terencat pemikiran', tiada sokongan dari agensi persekutuan malah pemimpin kerajaan pusat sendiri memandang sepi usaha ini, kesedaran kritikal telah mendorong kerajaan negeri berusaha merealisasikannya.

Gagasan besar 'Belanda Timur' tidak mungkin terjelma dalam tempoh beberapa tahun' seperti mana Jepun dan Belanda mengambil masa yang agak panjang untuk bangkit daripada kemusnahan Perang Dunia II menjadi gergasi ladang dan kebun tanaman makanan.

Kedah menjadi jelapang padi sudah berpuluh tahun. Bermula sejak 1970, MADA secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1972, dibawah Akta 70, Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang diluluskan di Parlimen.

Sejak itu, bekalan beras negara dituai dari Kedah yang bukan sahaja mengorbankan tanah menjadi sawah padi, mengorbankan bukit dan hutan menjadi empangan dan kawasan tadahan. 63,000 keluarga (1970) dalam kawasan MADA turut berkorban tenaga menjadi pesawah, mengirim beras ke dalam periuk orang ramai di Kuala Lumpur, penghuni bandaraya dan kota besar di negara ini.

Semua pengorbanan ini disedari oleh pemimpin dan rakyat negara ini, walaupun bekalan beras tambahan terpaksa diimport dari luar kerana tidak mencukupi memenuhi permintaan yang kian bertambah.

Kedah dipimpin oleh Ustaz Azizan menerusksan tuntutan RM100 juta setahun kepada persekutuan, bukan sahaja kerana menyimpan hutan balak sebagai kawasan tadahan (dimulakan dizaman DS Syed Razak), tetapi kerana pengorbanan tanah sawah yang membekalkan makanan, empangan untuk pengairan pertanian dan sumber air kepada industri, termasuk kepada negeri lain yang bersekutu membentuk Malaysia.

Ia bukan saja isu carbon money, tetapi tanggungjawab negara ini kepada Kedah jelapang padi negara, sedangkan ia sendiri kekal miskin. Banyak negara lain di dunia ini mengambil pendapatan daripada sektor lain dalam negara untuk menampung sektor pertanian bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan.

Apakah Kedah akan kaya bila tanah sawah ditukar menjadi tapak kilang industri?

Kedah sudah memiliki kawasan industri besar di Kulim, Gurun dan Bakar Arang. Terdapat tapak industri sudah lama terbiar di Bukit Selambau, Napoh, Bukit Kayu Hitam. Di Gurun jugak masih ada tanah industri yang masih kosong.

Ada kilang industri yang beroperasi ala kadar, hidup segan mati tak mahu. Pekerja kilang cuti raya panjang seperti murid sekolah. Ada kilang industri besi yang sudah gulung tikar, bungkus 100%, melibatkan skandal berbilion ringgit.

Yang mengaut hasil terbesar dari pelaburan kilang industri bukan kerajaan negeri, tetapi disedut ke Putrajaya. Levi, duti, cukai import-eksport, cukai pendapatan, cukai syarikat dan lain-lain semunya dikutip oleh kerajaan pusat.

Negeri hanya pungut cukai tanah, dan PBT kutip cukai pintu. Anak-anak kita sebahagiannya dapat menjadi operator.

Tetapi kita terpaksa berhutang untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana canggih, sama ada bekalan air, jaringan jalan, bomba, dan segala kemudahan berkelas dunia kerana teruja dengan FDI Amerika, German dan China. Hasilnya tidak datang kepada kita pun.

Kalau tanah sawah kita ditukar menjadi tapak kilang industri, adakah Kedah kita akan menjadi kaya?

Ada kawasan yang dicanang akan menjadi rubber city, sebuah kawasan industri berasaskan getah. Selepas empat tahun, gendangnya kian tidak berbunyi. Saling berharap antara Kerajaan Pusat, Syed Mokhtar atau Kerajaan Negeri. Semuanya mencongak dan menanti. Ia dirancang di daratan yang kering, sudah ada kemudahan jalan perhubungan, berhampiran sempadan antarabangsa, malah didokumenkan dalam janji pilihanraya. Sampai sekarang belum ada tanda ia akan menjelma, dikatakan masih mengkaji.

Yang nampak laju di Kedah sekarang bukan industri perkilangan, dan tidak perlu menimbus sawah sedikitpun, tetapi yang sudah terbiasa mendatangkan wang segera, mudah dan mengkayakan orang, bukan memakmurkan rakyat atau mengkayakan negeri.

Sawah dan hasil tanaman tetap diserang penyakit, hasil tidak meningkat, jentera dan teknologi lama, tenggelam air bah, air laut pasang, dimamah siput gondang, petani terpaksa berdemo menuntut kenaikan harga dan subsidi. Jentera pembajak-penuai masih milik orang lain yang sudah kaya membekalkan mesin kepada petani miskin.

Pemimpin negeri Kedah sekarang bukan lagi kalangan 'stateman' atau negarawan, yang memerah fikiran dan berhempas pulas untuk kemakmuran rakyat jelata, tetapi telah dipenuhi oportunis. Kerana itulah cadangan di luar otak seperti menimbus sawah padi menjadi kilang industri supaya negeri ini maju dan kaya - telah dikemukakan.

Ia hanyalah sambungan kepada tindakan mahu merompak rumah sendiri dengan kerjasama lanun dan penyamun, seumpama kerja gila menswastakan rawatan dan bekalan air yang menghisap hasil negeri berpuluh puluh tahun. Kedah miskin bukan kerana sawah padi, tetapi kerana pemimpin yang ada terlalu lemah tanpa gagasan, tanpa wawasan, menyerah pada kebiasaan, tidak tahu berjuang, berkurung sesama sendiri. – HARAKAHDAILY 8/10/2016

Share on Myspace