Hanya iman, taqwa boleh halang rasuah

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Ulamak PAS Negeri Sabah melahirkan kekesalan dan rasa dukacita yang amat sangat terhadap kejadian rasuah yang terus bermaharajalela dalam kalangan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan. Punca utamanya adalah kerana kehidupan beragama dan keyakinan kepada Tuhan semakin dilupakan.

Saya yakin penghalang utama terhadap penyalahgunaan kuasa adalah kepercayaan kepada Tuhan. Ini telah termaktub secara  jelas dalam Rukun Negara Malaysia yang pertama meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai prinsip yang pertama.

Prinsip ini perlu dihayati oleh semua pihak khususnya dalam kalangan mereka yang punya kuasa. Agama akan menjadi benteng utama setiap manusia daripada melakukan kesalahan dan perlanggaran hukum.

Asas prinsip pembangunan dan pentadbiran dalam Islam adalah menekankan kepada hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Pencipta. Di antara perkara yang boleh membawa kerosakan kepada sesuatu sistem yang sudah dibangunkan adalah kerana rasuah. Oleh kerana itulah Islam dengan jelas menyatakan bahawa 'pemberi dan penerima rasuah adalah ahli neraka'.

Pemimpin dan sesiapa sahaja yang berkuasa mesti menghayati prinsip ini kerana jika hanya mengikut naluri manusia biasa pasti semuanya ingin mengumpul harta sebanyaknya, tetapi jangan melalui rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Saya berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat kes-kes rasuah ini sampai ke akar umbi. Jangan ada sebarang pilih kasih dalam tindakan. Ini kerana rasuah akan merosakkan sistem yang telah dibina dan yang akan menjadi mangsa pastinya rakyat jelata.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah - HARAKAHDAILY 8/10/2016

Share on Myspace