Rakan Alam cadang 6 perkara atasi pencemaran air

DR MOHAMMAD IBRAHIM | .

RAKAN Alam memandang berat insiden penutupan loji yang hampir berlaku setiap tahun di negara ini. Kita pernah dikejutkan dengan gangguan bekalan air kepada 20 ribu pengguna di Cameron Highlands Pahang akibat pencemaran di loji utama rawatan air di Kampung Terla pada tahun 2012.

Pada tahun 2013, pencemaran di loji Tatau pula di Bintulu Sarawak. Penutupan beberapa loji di Selangor pada tahun yang sama sehingga menjejaskan bekalan air kepada 1 juta pengguna. Loji Rawatan Air di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi Selangor pada tahun 2014 dan kemudiannya di Loji Rawatan Air Kahang Baru Daerah Kluang di Johor pada tahun 2015.

Pada tahun ini sahaja, kita dikejutkan dengan gangguan bekalan air bersih kepada 120 ribu pengguna di Johor akibat penutup Loji Rawatan Sungai Johor, Semanggar 1 dan 2 serta Tai Hong. Diikuti dengan penutupan Loji Rawatan Air Semenyih Selangor beberapa hari yang lalu sehingga menjejaskan bekalan air bersih kepada 1.8 juta penduduk dari 4 daerah di Negeri itu.

Kenapa masalah yang sama iaitu penutupan Loji Rawatan Air (LRA) saban tahun berlaku di Negara ini? Yang paling mengejutkan Rakan Alam adalah pengakuan dari Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini bahawa penutupan LRA Semenyih Selangor akibat pencemaran sudah pun berlaku sebanyak 6 kali dari 2006 lagi.

Walaupun diakui beberapa langkah tindakan dan pelan strategik untuk pemuliharaan sumber air sudah dikenalpasti sehingga Dasar Sumber Air Negara (DSAN) digubal dan diluluskan pada tahun 2012, insiden pencemaran air sehingga menjejaskan LRA khususnya pada tahun ini sahaja menunjukkan sasaran untuk memastikan sumber air yang terjamin dan lestari untuk menyokong keperluan manusia dan alam sekitar di Negara ini masih jauh dari sasaran yang kita harapkan.

Berdasarkan dua insiden di Johor dan Selangor itu, RAKAN ALAM berharap pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui agensi yang ada dapat memberi fokus atau tumpuan yang lebih kepada beberapa cadangan di bawah:

1. Rakan Alam dimaklumkan bahawa nisbah diantara penguatkuasa dengan premis yang perlu dipantau adalah sangat besar. Diharapkan jumlah kakitangan penguatkuasa yang baru dapat ditambah untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih efektif, berkesan dan menyeluruh dapat dilaksanakan oleh agensi yang berkaitan.

2. Menggunakan innovasi teknologi untuk memantau pelepasan sisa cecair dan pepejal secara proaktif dari lokasi industri.

3. Peruntukan belanjawan yang lebih tinggi untuk menyokong pelan strategik yang sudah digariskan Dasar Sumber Air Negara khususnya buat agensi penguatkuasa yang terlibat sama ada di peringkat Kerajaan Pusat ataupun di peringkat Kerajaan Negeri.

4. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berganding bahu untuk segera mewartakan kawasan tadahan air.

5. Melibatkan penyertaan masyarakat sebagai ‘Penguatkuasa Sukarelawan’.

6. Melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan Bersepadu melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membantu seluruh pengguna ketika gangguan bekalan air dalam masa yang munasabah.

Rakan Alam yakin dengan tumpuan kepada 6 cadangan di atas mampu mengurangkan insiden pencemaran air dalam jumlah yang ketara malah dapat memastikan kebajikan dan keselamatan Rakyat sentiasa dilindungi sepanjang masa.  – HARAKAHDAILY 8/10/2016

(Penulis adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Alam Sekitar Malaysia (Rakan Alam))

Share on Myspace