RM12 juta diperuntuk baiki saliran elak banjir

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM12 juta bagi menaik taraf saliran di Pekan Meru yang sering dilanda banjir jika berlaku hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata permasalah utama dikenal pasti di Dun Meru adalah banjir yang berlaku di Pekan Meru sebelum 2008 lagi.
 
“Kita bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turun padang untuk melihat sendiri keadaan dan saliran yang perlu dinaik taraf.

“Kajian reka bentuk telah pun selesai dilaksanakan di peringkat perunding melihat apa punca permasalah dan projek fetigasi yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jelajah Infratani 2016 Dun Meru, semalam.

Hadir sama ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman yang turut mengakui sistem saliran bermasalah antara faktor menyebabkan berlakunya banjir di kawasan itu.

Katanya, kerja naik taraf dijangka dilaksanakan Februari tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Karnival Jelajah Infratani 2016 Dun Meru merupakan jelajah yang terakhir untuk tahun ini setelah melalui beberapa daerah dan Dun.

Zaidy berkata, Dun Meru adalah progam penghujung sebelum meneruskan ke program kemuncak iaitu Selangor Agrofest 2016 yang bakal berlangsung di Pantai Morib pada 20 hingga 23 Oktober ini.

“Objektif utama program infratani adalah untuk pimpinan bersama exco dan agensi kerajaan turun padang melihat perkara yang perlu penambahbaikan dalam infrastruktur dan pertanian.

“Dalam bidang pertanian juga kita turut turun ke ladang memberi khidmat nasihat dan menyalurkan bantuan diperlukan,” katanya.

Share on Myspace