Siap sedia hadapi gelombang air laut pasang besar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air laut pasang besar dengan memperuntukkan RM4.3 juta untuk memperbaiki benteng atau ban pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata peruntukan itu dipertanggungjawabkan dibawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk membaiki ban yang rosak akibat air pasang sebelum ini.

“Saya semak dengan pengarah JPS perkara itu telah pun siap selesai dan kita bersedia menghadapai air pasang besat itu nanti.

“Ban (benteng) dalam keadaan yang baik dan kita tahu mengikut jadualnya pertengahan Oktober ini akan berlaku air pasang besar sehingga 5.7 meter,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Karnival Jelajah Infratani 2016 Dun Meru, semalam.

Tambahnya, penduduk yang tinggal berdekatan di persisiran pantai juga diarahkan berpindah awal demi kesemalatan masing-masing.

“Kita maklumkan kepada penduduk supaya berpindah awal. Melalui unit bencana diarahkan untuk buka pusat perpindahan sebelum berlakunya banjir atau limpahan.

“Kita juga bersedia dengan peruntukan jika berlaku kerosakan teruk kepada rumah terlibat melalui unit bencana,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana negeri, Ahmad Afandi Mohamad berkata, 17 lokasi membabitkan lima daerah di Selangor diramal berdepan banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 16 hingga 19 Oktober ini.

Bercakap pada sidang media Jumaat lalu, beliau berkata paras air akibat fenomena itu dijangka meningkat sehingga 5.7 meter, melebihi paras air yang direkodkan ketika fenomena air laut pasang besar bulan lalu, iaitu 5.6 meter.

Kawasan diramal terjejas di daerah Klang ialah Sungai Serdang, Bandar Klang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang, Kampung Sungai Lima dan Pulau Ketam.

Sabak Bernam membabitkan Kampung Sungai Air Tawar dan Sungai Tengar, manakala di Kuala Selangor ialah Pasir Penambang, Bagan Pasir dan Pantai Remis.

Kawasan pesisir Pantai Bagan Lalang bagi Sepang serta Pantai Kelanang dan pesisir Pantai Tanjung Sepat di Kuala Langat juga termasuk dalam kawasan yang diramal berlaku banjir.

Share on Myspace