Kunjungan Pemuda PAS Johor ke pejabat mufti

HARAKAHDAILY | .

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah mempermudah urusan delegasi Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ke Pejabat Mufti Negeri Johor pada pagi tadi, 9 Oktober 2016.

Pertemuan yang berlangsung selama 2 jam itu, yang bermula dari 9 pagi telah berlangsung dengan penuh kemesraan dan ukhuwah yang baik. Delegasi DPPNJ diketuai oleh Ust Juwahir Amin selaku Ketua DPPNJ, bersama TKP DPPNJ, Ust Ahmad Nawfal Mahfodz yang bertindak sebagai Pengarah Task Force RUU355 DPPNJ, Faizal Rizal Abd Hamid (Setiausaha DPPNJ), Ust Abdul Hadi Harun (Penerangan) dan Ust Zarul Salleh (Dakwah).

Kami amat berbesar hati dan merakamkan jutaan penghargaan atas kesudian pihak Pejabat Mufti menerima kunjungan DPPNJ. Perbincangan dua hala ini tertumpu kepada lontaran pandangan dan cadangan berkenaan pindaan RUU355. Pihak Pejabat Mufti menerima baik pindaan tersebut atas dasar keperluan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

DPPNJ menerima baik segala sumbang saran yang diberikan, terutama oleh Datuk Mufti sendiri; Sohibus Samahah Datuk Tahrir yang berpendirian "sekiranya terlaksa pindaan tersebut, tiada masalah untuk ia dilaksanakan di Negeri Johor".

Pejabat Mufti Negeri Johor diwakili oleh YB Datuk Mufti Negeri Johor sendiri; Sohibus Samahah Al-Fadhil Datuk Tahrir Kiyai Shamsudin. Turut bersama dalam pertemuan tersebut Timbalan Datuk Mufti, Kadi Besar, dan penolong pegawai yang berkenaan.

Semoga ia menjadi permulaan yang baik untuk kita terus bekerjasama seperti kenyataan Datuk Mufti dipetik berkata "Hati kita sama. Semoga kita akan terus bersama terutama dalam soal kedaulatan Islam".

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
9 Oktober 2016 / 8 Muharram 1438 - HARAKAHDAILY 9/10/2016

Share on Myspace