MyHackathon: Perah idea cari solusi cabaran pendidikan

HARAKAHDAILY | .

Seramai hampir 30 orang golongan profesional dalam pelbagai bidang terlibat dalam program MyHackathon 2.0 yang berlangsung selama 2 hari pada 8 dan 9 Oktober 2016.

Mereka bersama memerah idea untuk mencari solusi terhadap 5 cabaran yang dikemukakan iaitu:

1. Sistem Pengurusan Sekolah
2. Bahan Pembelajaran dan Pengajaran
3. Promosi Sistem Pendidikan
4. Penambahbaikan Pengalaman Pembelajaran
5. Pembelajaran Melalui Pengalaman Untuk Perkembangan Kanak-Kanak

Program MyHackathon 2.0 (MH2.0) dianjurkan oleh Jabatan Profesional Muda (JPro), Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR) DPPM, Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) DPPM dan Profesional Istiqamah.

MH2.0 adalah pertandingan berbentuk percambahan dan pelaksanaan idea yang dijalankan dalam tempoh 24 jam. Setiap kumpulan akan membentangkan hasil produk sebagai solusi kepada masalah/keperluan samada dalam bentuk aplikasi mobile, web, kertas kerja, modul, prototaip dan sebagainya untuk dinilai oleh para juri.

Bagi siri ke-2 program kali ini yang bertemakan PENDIDIKAN, sasaran peserta terdiri daripada golongan profesional muda yang terlibat dan berminat menyumbang idea, masa dan tenaga di dalam bidang pendidikan, khususnya yang akan melibatkan pelaksanaan di sekolah-sekolah SRITI serta Pasti dan amnya kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Dalam pada masa yang sama Pengarah JPro DPPM, Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid dipetik berkata, "MH 2.0 merupakan medan Politik Solusi daripada anak muda bagi menyahut gelombang transformasi Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dalam PAS. Semoga program yang dilaksanakan ini diberkati Allah dan solusi yang diperoleh dapat dibangunkan untuk kepentingan semua".

Pada MH 2.0 kali ini, terdapat 7 kumpulan di mana setiap satu kumpulan membawa idea dan solusi yang berlainan. Antaranya Direktori Lokasi Pasti, Info Bayaran, Aplikasi Hubungan, Aplikasi Info Perkembangan Pelajar, Pendidikan yang Membina Akhlak, EduBox (Alat Bantu Mengajar dan Interaktif) dan Augmented Reality. Setiap kumpulan diberi bimbingan oleh mentor yang berkepakaran dalam bidang IT, Psikologi Pendidikan dan Instructional Design.

Dalam program ini, para peserta dinilai oleh para juri profesional, antaranya Ustaz Mohd Azam Abd Samat (Adun Sg Limau Pengarah Jabatan Pasti), Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin (Executive Chairman BBIM), Ustaz Azrul Hisyam Salleh (Timbalan Pengarah JPSR Malaysia) dan Cikgu Normala Sudirman (Presiden NGO Pendidik Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan).

Beberapa komen oleh pihak juri telah disampaikan terhadap setiap kumpulan peserta. Antara yang menarik untuk dilihat ialah mereka sangat menggalakkan anak muda khususnya profesional muda untuk cakna dan melibatkan diri dalam menambahbaik pendidikan dengan idea-idea dan pandangan mereka. Juri jemputan khas, Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin dipetik berkata, "program ini penting dalam mencungkil bakat anak muda khususnya dalam bidang profesional. Apa yang dilihat semasa sesi pembentangan, setiap kumpulan mempamerkan potensi yang sangat baik dan idea yang bernas".

Juara bagi pertandingan MH 2.0 ialah dari kumpulan Generasi Al-Fateh yang membawa idea Aplikasi Info Perkembangan Pelajar dan Direktori Pasti, naib juara dimenangi oleh kumpulan AR yang membawa idea Augmented Reality untuk tujuan pendidikan interaktif. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Eduforia yang membawa idea alat bantu mengajar bernama EduBox.

MyHackathon yang dianjurkan ini adalah sebagai satu langkah JPro untuk menggalakkan masyarakat Malaysia khususnya golongan profesional untuk bekerjasama dan memerah idea dalam mencari solusi kepada permasalahan negara. Bagi pihak JPro mengharapkan idea-idea yang dipersembahkan ini benar-benar dapat diaplikasi dalam institusi pendidikan negara. Kami sangat komited dalam memberi solusi terhadap isu-isu dalam negara khususnya dalam sektor pendidikan.

Program seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa untuk industri-industri yang lain.

Jabatan Profesional Muda DPPM (JPro) - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace