1Media Online: JITP terus melangkah maju

HARAKAHDAILY | .

CYBERJAYA: Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia (JITP) terus melangkah maju ke hadapan dengan merasmikan 1Media Online, di sini, semalam.

Majlis yang bermula jam 10.00 pagi dengan ucapan Pengarah Program Mohd Razain Mohamad Nor diikuti dengan dengan satu program bual bicara bertajuk ‘1Media: Penyelesaian Transformasi Media Internet’  bersama Dr Mohamed Awang Lah, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jaring Communication; Mohd Rafee Md Aris, mantan Pengurus Besar, Tiga Event Sdn Bhd dan Datuk Abdul Jalil Ali, penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf.

Pengerusi Jaringan IT Prihatin Malaysia, Mohd Shuhaimi Embong mengendalikan bual bicara berkenaan dalam masa sejam 15 minit sebelum satu ucapan khas dan taklimat bertajuk ‘Islam dan Jihad Media’ disampaikan oleh Prof Dr Zulkifle Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara Pelancaran 1Media dan NGO Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mewakili Menteri Besar.

Dalam ucapan perasmian tersebut, Menteri Besar Kelantan dalam teks yang dibacakan oleh Che Abdullah turut memaklumkan usaha kerajaan negeri dalam mempertingkatkan program ceilk IT di negeri itu di samping berusaha mengurangkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini adalah mantan Menteri Penerangan,Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.

Pengarah Projek 1Media, Mohd Razain Mohd Noor dalam ucapan aluannya berkata, cabaran masa kini media menjadi medan menyebarkan propaganda, fitnah dan berita palsu sehingga menyebabkan khalayak bercakaran dan berpecah.

"Sehubungan itu, pihak kami ingin memanfaatkan teknologi baru di negara ini supaya dapat menjadi hub media berintegriti dan bertanggungjawab," tambahnya lagi.

Antara produk 1Media Online yang dilancarkan adalah Portal Berita 1Media, Komuniti 1Media dan Istiqamah Messenger. - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace