Cabaran dan unjuran Bajet 2017

SYAHIR SULAIMAN | .

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggal lah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 29-30)

Perkembangan Ekonomi 2016

Ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan perlahan pada tahun 2016. KDNK negara diunjurkan berkembang pada kadar 4.0%–4.2% bagi tahun 2016, antara yang terendah di rantau Asia Pasifik, disebabkan oleh faktor kelemahan permintaan dalam negara dan ketidaktentuan ekonomi global.

Manakala kadar inflasi yang mengukur kenaikan harga barang di pasaran diunjurkan kekal di paras 3.0%-3.5% pada tahun 2016, kesan pelaksanaan GST yang diperkenalkan pada tahun 2015. Walaupun kadar inflasi tidak meningkat secara mendadak, namun risiko terhadap kenaikan kos sara hidup adalah sangat membimbangkan.

Ditambah pula dengan purata gaji pekerja yang tidak meningkat, situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup golongan bawahan dan pertengahan yang sangat terkesan dengan sebarang kenaikan harga barang di pasaran.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Bank Dunia di dalam Laporan Ekonomi Asia Pasifik 2016, Malaysia berhadapan dengan risiko kelembapan ekonomi dunia dan ketidaktentuan pasaran kewangan global. Selain itu, perbahasan berkenaan isu 1MDB akan terus menjejaskan sentimen pelabur luar untuk masuk ke Malaysia, dan akan merencatkan usaha transformasi yang diambil oleh kerajaan.

Penumpuan perlu diberi terhadap perubahan struktural untuk memacu negara ke arah status negara maju, dengan memberi lebih fokus dalam aspek pembangunan modal insan dan meningkatkan transparensi dalam ekonomi negara.

Jangkaan Bajet 2017 – ‘Bajet Pilihan Raya’

Tidaklah sukar untuk menjangkakan Kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi di dalam Bajet 2017 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Hal ini kerana kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung lebih awal dalam tahun 2017, sebagaimana tema yang diangkat oleh kerajaan iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Sudah pasti segmen yang akan mendapat perhatian kerajaan dalam merangka Bajet 2017 adalah projek yang berpaksikan rakyat (people-centric) seperti BR1M, rumah mampu milik, pembangunan luar bandar, pengangkutan awam dan bebanan sara hidup rakyat.

Bagi tahun 2017, kerajaan dijangka berhadapan masalah untuk mengekalkan disiplin belanjawan bagi mencapai kadar defisit 3.0%-3.2% kepada KDNK, dalam keadaan pendapatan kerajaan yang terhad dan perbelanjaan kerajaan yang kian meningkat.

Dalam aspek pendapatan kerajaan, kejatuhan harga minyak di paras USD40-USD50 akan menjejaskan kebergantungan negara kepada sumber minyak, yang menyumbang sekitar 20%-25% daripada keseluruhan pendapatan. Oleh sebab itu, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumber cukai GST yang dijangka lebih tinggi pada tahun 2017, iaitu pada kadar RM40-RM45 bilion. Ini sekaligus menutup spekulasi penurunan kadar GST pada tahun hadapan, walaupun kerajaan bakal dilihat tidak popular dalam hal ini.

Dalam aspek perbelanjaan kerajaan, begitu banyak ruang yang dapat diambil bagi mengurangkan kos operasi kerajaan.

Peruntukan untuk gaji penjawat awam terus menjadi penyumbang terbesar perbelanjaan kerajaan, sekitar 35%. Analisa yang dibuat oleh pihak RHB Research menunjukkan peningkatan mendadak kos gaji dalam tempoh 10 tahun ini, iaitu daripada nisbah 24.6% bagi tempoh 2005-2009 kepada 28.8% bagi tempoh 2010-2014, dan melonjak ke paras 34.5% dalam tempoh 2015-2016. Namun, pertimbangan politik menjadi penghalang kepada sebarang usaha untuk mengecilkan saiz kerajaan yang dikira antara yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

Malah kerajaan dijangka akan terus mengambil jalan mudah bagi mengurangan perbelanjaan kerajaan iaitu dengan mengurangkan pemberian subsidi. Namun, pengumuman penurunan subsidi ini akan dibuat oleh kerajaan dengan penuh cermat, mengambil kira aspek sokongan rakyat sebelum pilihan raya. Adalah tidak mustahil kerajaan akan menangguhkan kenaikan kadar tol dan tariff elektrik dengan tujuan mengurangkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi menjelang tempoh pilihan raya.

Selain itu, kerajaan dijangka akan mengumumkan pelbagai projek mega di seluruh negara. Antara projek infrastruktur yang akan menelan belanja berbilion ringgit adalah projek HSR Kuala Lumpur – Singapura (RM35 bilion), projek MRT2 dan LRT3 (RM45 bilion), projek lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan pelbagai projek prasarana luar bandar meliputi jalanraya dan bekalan elektrik.

Bagi meraih sokongan rakyat, kerajaan dijangka akan terus memberikan pelepasan cukai pendapatan bagi tahun 2017, sebagaimana yang dilaksanakan pada tahun 2016. Walaupun kesan pelepasan cukai adalah amat minima, pengumuman ini akan memberikan imej positif kepada rakyat yang mahu dilihat prihatin kepada masalah hidup rakyat.

Sebagai menepati janji untuk membina sejuta rumah mampu milik menjelang tahun 2018, kerajaan dijangka akan terus mencari noktah penyelesaian dengan penglibatan pihak pemaju dan institusi kewangan. Pelbagai langkah telah diambil termasuklah dengan penyediaan lebih banyak rumah yang berharga di bawah RM300,000 oleh PR1MA dan pemaju, di samping pelbagai skim pembiayaan kepada pembeli rumah pertama dan golongan baru bekerja.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah pengeluaran Akaun-2 daripada simpanan KWSP untuk tujuan membeli rumah, membangunkan tanah kerajaan dan waqaf di lokasi yang sesuai untuk segmen rumah mampu milik, mengkaji formula premium tanah dan caj pembangunan yang menyimbang kepada kenaikan harga tanah, di samping pemberian insentif terhadap industri pembinaan yang lebih inovatif seperti aplikasi IBS dan seumpamanya.

Di sebalik angka berbilion ini, Bajet 2017 dijangka tidak memperlihatkan mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti, disiplin fiskal dan langkah penjimatan, malah masih terdedah kepada elemen salah urus tadbir yang sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, di samping kecenderungan untuk memohon bajet tambahan setiap tahun.

Kegagalan kerajaan menunjukkan komitmen untuk menangani skandal yang melanda 1MDB, khususnya berkenaan hasil siasatan PAC, Bank Negara dan SPRM terhadap transaksi pelaburan yang luar biasa, akan terus menghakis keyakinan rakyat dan pelabur kepada kerajaan, menyebabkan Malaysia terus berdepan dengan situasi defisit berkembar - defisit-fiskal (fiscal deficit) dan defisit-keyakinan (trust deficit).

Oleh sebab kita berada dalam kedudukan ekonomi yang mencabar, kerajaan wajar memberi tumpuan untuk mengekalkan pertumbuhan dan dayasaing ekonomi negara. Bermula dari pendapatan yang mampan, penekanan perlu diberikan ke arah memperkukuh dayatahan rakyat yang berhadapan risiko kenaikan harga dan pemberhentian kerja, bukan melalui langkah populis yang bersifat 'one-off’ yang tidak menyelesaikan masalah ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

Justeru seluruh rakyat dan anak muda diseru agar lebih peka terhadap segala perancangan dan tindakan kerajaan di dalam Bajet 2017. Ini kerana bajet sebelum pilihan raya seringkali bersifat manis, namun selepas pilihan raya akan bertukar menjadi pahit. – HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace