Tahniah TG Hashim Jasin dilantik Mursyidul Am PAS

HARAKAHDAILY | .

Majlis Syura Ulamak PAS semalam telah memutuskan untuk melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS yang baru, menggantikan almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin di atas amanah ini. Semoga Tuan Guru terus komited mengemudi bahtera perjuangan ini demi memastikan perjuangan PAS tetap berada di landasan terbaik.

Sesungguhnya kewajipan para ulamak terhadap negara ialah memberikan nasihat dan pandangan. Dengan mengambil berat terhadap nasihat-nasihat mereka diharap negara boleh berjalan di atas landasan yang sahih, menegakkan yang hak dan meruntuhkan kebatilan.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:-

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Iaitu orang-orang yang jika kamu teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan mungkar." (Al Haj: 40-41)

Sungguhpun amanah ini sangat berat, namun kami percaya Tuan Guru Ustaz Hashim adalah seorang yang cukup layak untuk berada di posisi ini.

Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia akan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap pimpinan akar umbi bagi memastikan Parti Islam Se-Malaysia, PAS terus memacu perjuangan Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Siru ala barakatillah!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace