DPPM ucap tahniah atas pelantikan Mursyidul Am PAS

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan rasa syukur dan merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Tuan Guru Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am yang baharu bagi menggantikan almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang telah meninggal dunia.

Sementara itu, jawatan Timbalan Mursyidul Am akan terus dipikul oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz  Datuk Ahmad Yakob.

Tuan Guru Hashim Jasin merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Perlis (1971-2008) dan telah lama berada dalam Majlis Syura Ulamak PAS.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi wakil rakyat bagi Dun Sanglang yang dimenanginya pada Pilihanraya Umum ke-10 (1999-2004).

Pengalaman yang luas serta ilmu yang mendalam menjadikan pelantikan ini amat bermakna bagi memimpin bahtera perjuangan.

DPPM akan terus menjadi benteng mempertahankan kepimpinan ulamak dan institusi Majlis Syura Ulamak.

Ini adalah rahsia keutuhan dan keampuhan PAS mempertahankan prinsip Islamnya berhadapan cabaran yang begitu getir khususnya di bidang siasah.

Semoga Allah SWT merahmati dan memberikan kesihatan yang baik kepada mereka berdua.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
10 Oktober 2016 | 9 Muharram 1438 - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace