Selangor sedia tangani pencemaran Sg Semantan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor terus komited mengambil langkah drastik dan agresif terhadap masalah pencemaran air di Sungai Langat dan Cheras.

Demi menangani masalah itu, kerajaan negeri bersedia menawarkan khidmat kepada Kerajaan Pahang untuk memantau Sungai Semantan yang juga mengalami masalah pencermaran air.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, pencemaran Sungai Langat bermula dari Sungai Semantan yang tercemar dan mengalir masuk ke sungai itu.

“Kita menawarkan khidmat kepada Kerajaan Pahang untuk sama-sama menyemak dan memantau khusus kawasan Sungai Semantan yang mengalirkan air ke Sungai Langat.

“Kita tidak boleh lepas tangan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang mencemarkan air di Sungai Semenyih, baru-baru ini,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memutuskan untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memastikan masalah itu tidak berulang.

Katanya, jawatankuasa itu bakal dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan memanggil semua agensi kerajaan bagi membincangkan masalah itu.

“Sekarang semua perlu bertindak bersama turun padang dan bukan hanya melihat dalam bidang tugas masing-masing tetapi duduk berbincang dan ambil langkah bersepadu,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan yang berlaku adalah disebabkan khianat dengki daripada pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan negeri.

“Kita tidak boleh cakap ia sah berlaku sebab sabotaj tetapi masalah ini berlaku apabila isu air dalam proses menamatkan perjanjian dengan beberapa pihak.

“Apatah lagi ia berlaku ketika musim pilihan raya yang semakin hampir,” katanya.

Share on Myspace