Haiwan penting tetapi manusia lebih utama

HARAKAHDAILY | .

Cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi membina beberapa buah lagi hospital veterinar untuk menampung kekurangan bilangan hospital veterinar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur, menarik minat saya untuk berkongsi sedikit pendapat.

Dijangkakan cadangan ini yang tidak dinyatakan jumlahnya, akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan MOA akan berusaha menyediakan tiga atau empat buah hospital veterinar.

Tidak dinafikan, kita sebagai khalifah di bumi ini, perlu menjaga haiwan-haiwan yang juga adalah makhluk Allah bagi keseimbangan dan kitaran kehidupan kita semua. Namun harus diingat, kewajipan kita ke atas sesama manusia adalah jauh lebih utama.

Perlu dinyatakan di sini bahawa, perancangan membina Hospital Daerah Marang, hospital untuk manusia, telahpun bertahun-tahun dijanjikan, tetapi masih belum ditanam walau sebatang cerucukpun.

Hospital Dungun juga terpaksa melalui tempoh yang sangat panjang, bertukar Perdana Menteri sekalipun, masih belum disiapkan sepenuhnya sehingga kini.

Begitu juga dengan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), yang sehingga kini, masih belum kelihatan papan tanda pembinaannya. Lebih menyayatkan hati, hospital-hospital yang sedia ada, masih belum dapat menampung sepenuhnya jumlah pesakit.

Di sesetengah wad, pesakit terpaksa berasak-asak kerana katil terpaksa ditambah bagi menampung kebanjiran pesakit. Pernah juga dilaporkan pesakit terpaksa tidur di atas tilam di lantai kerana katil di wad telah penuh.

Bukan salah pihak pengurusan hospital kerana terpaksa melakukan ini. Mereka sangat profesional dalam memenuhi tanggungjawab mereka kepada pesakit. Mereka berusaha juga walau dalam keadaan tersepit, menyediakan khidmat yang terbaik, menggalas amanah yang diberikan kepada mereka. Tetapi isu ini perlu kita kembali melihat kepada kebertanggungjawaban kerajaan yang memerintah.

Dengan suasana maklumat yang begitu mudah diterima, amat mustahil kerajaan tidak peka dengan apa yang berlaku di hospital-hospital milik mereka. Secara lojiknya, semakin bertambah jumlah penduduk, maka akan semakin ramailah pesakit.

Maka dengan ini, PAS amat berharap agar keutamaan diberikan kepada manusia terlebih dahulu berbanding haiwan. Segerakan pembinaan hospital-hospital keperluan manusia yang telah lama dijanjikan pembinaannya daripada cadangan pembinaan hospital veterinar ini.

Sungguh besar tanggungjawab kerajaan bagi memastikan kesihatan rakyatnya dipelihara. Apatah lagi jika sudah terlalu lama dijanjikan, tetapi masih belum tertunai. Wallahua’lam

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
9 Muharram 1438 / 10 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace