Harap DSWA undi sokong RUU pindaan Akta 355

HARAKAHDAILY | .

TANGGUNGJAWAB agar berlakunya pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 kini terpikul atas kesediaan seluruh Ahli Parlimen Malaysia yang akan bersidang mulai 17 Oktober depan.

Ia telah jadi impian umat Muslim di negara ini di mana telah menunjukkan harapan tinggi dan kebersamaan agar berdaulatnya perundangan syariah yang akan menangani dan menyelesaikan isu-isu meruncing berkaitan orang Islam dengan penuh keadilan.

Malah, selaras transformasi semasa, ia akan memberikan kuasa kepada Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal atau meminda enakmen berkaitan yang akan memartabatkan Mahkamah Syariah bagi menjalankan fungsinya selaras hukum syarak.

Maka kami juga telah menggerakkan kesedaran dan dokongan penduduk khususnya dalam Parlimen Permatang Pauh yang kemudiannya telah dipanjangkan memorandum sokongan kepada Ahli Parlimen, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam pertemuan kelmarin.

Pun begitu, Datuk Seri Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia tidak menunjukkan kesungguhan beliau untuk bersama dalam menyokong pindaan tersebut. Sebaliknya menyatakan bahawa usul pindaan itu banyak kelompongan selain membangkitkan RUU Akta 355 itu bukan hukum hudud.

Namun demikian, mewakili hasrat penduduk, kami tetap memberi harapan agar Datuk Seri Wan Azizah melakukan pertimbangan sebaiknya agar pindaan pada akta berkenaan dapat berlaku demi kepentingan Islam dan umatnya di negara ini.

Malah, ia sekali gus menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang terlebih dahulu telah menyatakan sokongan penuh kepada inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Kami menyeru, marilah diketepikan sebarang khilaf ke atas cita-cita murni ini. Mandat diberikan pengundi ini adalah taklifan yang akan diperhitungkan Allah dihadapan-Nya kelak. Tunaikan satu undi untuk RUU Pindaan Akta 355 adalah dari Permatang Pauh.

IR AHMAD RAFAEI DATUK IR ABDUL RASHID
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh – HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace