Asia Barat: Dari perang dingin kepada perang sebenar

HARAKAHDAILY | .

Konflik Asia Barat: Pertembungan Amerika Syarikat dan Rusia Dari Perang Dingin kepada Perang Sebenar

Selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan kekalahan Jerman dan Jepun, muncullah dua kuasa besar dunia; Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, dua kuasa besar yang memiliki senjata nuklear yang bukan sahaja boleh memusnahkan kedua-dua negara bahkan dunia keseluruhannya. Era 1940-an sehingga 1980-an menyaksikan pertembungan antara kedua-dua kuasa besar ini sehingga melahirkan blok Barat yang mewakili AS dan blok Timur yang mewakili Kesatuan Soviet. Pertembungan antara kedua-dua blok ini merentasi benua bukan sahaja benua Eropah bahkan juga Asia, Afrika, Amerika Selatan dan tidak terkecuali juga Dunia Islam.   

Era Perang Dingin

Era ini dinamakan era Perang Dingin kerana tidak berlaku peperangan sebenar, yang berlaku ialah perang diplomasi, perang mulut, perang media, perang proksi dan seumpamanya. Masing-masing berlumba membuat pelbagai jenis senjata untuk menunjukkan kekuatan dan kehebatan tanpa menghiraukan batas-batas manusiawi. Justeru medan perang diwujudkan untuk menguji senjata masing-masing. Dalam tempoh 40 tahun tidak kurang tiga peperangan besar berlaku yang mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia.

Pada awal 1950-an berlakunya Perang Korea apabila Korea Utara yang menjadi proksi kepada Kesatuan Soviet menceroboh Korea Selatan seterusnya mengheret AS untuk masuk campur. Selepas berakhirnya Perang Korea berlaku pula Perang Vietnam yang menyaksikan kekalahan AS dan proksinya. AS menerima tamparan hebat dengan kekalahan ini yang mengorban dan mencederakan ribuan tenteranya. Kesatuan Soviet yang gembira dengan kemenangannya di Vietnam merasakan keperluannya untuk meluaskan lagi penguasaannya maka berlakulah pencerobahannya ke atas Afghanistan tidak lama selepas itu.

Pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan mempunyai agenda yang tersurat dan tersirat. Agenda yang tersurat ialah strategi geopolitik Soviet untuk menguasai bumi Afghanistan yang kaya dengan hasil buminya khususnya minyak dan uranium. Dalam masa yang sama juga hasratnya ialah meneruskan penaklukan kepada jiran Afghanistan di sebelah utara, Pakistan bagi mendapat akses ke atas Lautan Hindi dan Teluk Parsi yang didominasi oleh AS dan sekutu Baratnya.

Agenda yang tersirat ialah strateginya untuk mengekang kebangkitan Islam selepas berlakunya Revolusi Islam Iran (kedua-dua Afghanistan dan Pakistan ialah jiran Iran di sebelah timur) yang menjatuhkan Shah Iran. Soviet atau AS bersatu dalam memerangi Islam tanpa mengira apa warna mazhab dan pegangan umat Islam yang mahukan kepada perubahan politik Islam. Itulah yang berlaku sebelumnya apabila semua kuasa-kuasa besar dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua berpakat untuk menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah dan seterusnya membahagikan wilayah-wilayah dunia Islam sesama mereka dengan mengapikan senjata semangat perkauman dan pertembungan mazhab.

Penaklukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan berakhir dengan kekalahannya hasil daripada permainan AS yang memberikan sokongan dana kewangan dan ketenteraan kepada kumpulan-kumpulan Islam yang berpangkalan di sempadan Afghanistan-Pakistan bagi memerangi tentera Soviet. Ejen-ejen CIA dihantar untuk melatih pejuang-pejuang dengan menggunakan senjata-senjata canggih AS yang terhad. Kekalahan Kesatuan Soviet ini memberi tamparan yang sangat hebat sehingga menyebabkan berkecai kesatuannya pada tahun 1991 yang akhirnya mengembalikannya kepada negara asalnya iaitu Rusia.

Selepas merosot dan berkecainya Kesatuan Soviet bermula akhir dekad 1980-an; AS menjadi kuasa besar tunggal. Bermulanya era 1990-an yang digelar dengan New World Order. Era kuasa besar tunggal AS yang melakar penguasannya bukan sahaja melalui ketenteraan bahkan juga menjangkau ekonomi dan budaya melalui perjanjian-perjanjian ketenteraan dan ekonomi yang menyebabkan dunia berada di bawah telunjuk AS. Dalam era ini Rusia umpama "kucing kurap"; dipimpin oleh presiden-presiden yang lemah bermula daripada Mikhail Gorbachev sehinggalah Boris Yeltsin. Bergelut dengan kemelut ekonomi dan masalah-masalah dalaman khususnya wilayah-wilayah yang menuntut kemerdekaan daripada Rusia.

Kebangkitan Semula Rusia

Rusia mendapat nafas baru selepas Vladimir Putin memegang tampuk pemerintahan sebagai presiden. Cita-citanya untuk mengembalikan kegemilangan era Rusia di zaman tsar dan menjadikan Rusia kuasa besar dunia mendorongnya untuk meluaskan cengkamannya dalam politik Rusia. Presiden Putin berjaya memulihkan masalah dalaman Rusia khususnya dari sudut ekonomi dan penyelesaian di wilayah-wilayah yang bergolak seperti Chechnya dan Daghestan.

AS berusaha untuk menyekat kebangkitan semula Rusia dengan campurtangannya secara langsung dalam politik Georgia dan Ukraine, dua negara bekas Soviet yang berpengaruh dan berkedudukan strategik. AS menyokong sejak daripada awal penubuhan Georgia sebagai rakan strategik. Rusia yang sedar akan bahaya ini akhirnya bertindak menceroboh Georgia pada tahun 2008 dan dengan campurtangannya berjaya menjatuhkan Presiden Mikhail Saakashvilli yang menjadi sekutu rapat AS pada akhir 2012. Begitu juga usaha AS untuk menyokong Ukraine menemui kegagalan selepas mendapat tentangan hebat daripada Rusia. Usaha-usaha yang dilakukan oleh AS ini umpama menyocok jari ke dalam lubang hidung beruang yang sedang tidur.
 
Rusia kembali membina kekuatannya satu persatu sama ada dari sudut ketenteraan dan politik antarabangsa dengan membina jaringan baru untuk berdepan dengan AS. Hubungan eratnya dengan China diperkukuhkan bagi mendepani kuasa hegomoni ekonomi AS.

Asia Barat: Medan Pertembungan Baru

Selepas kejatuhan Kesatuan Union pada 1989; satu persatu negara-negara yang bernaung di bawahnya gugur berkecai termasuklah di Asia Barat. Yaman Selatan yang dahulunya diperintah oleh kerajaan Komunis proksi Soviet berakhir selepas penyatuannya dengan Yaman Utara sehingga terbentuknya Republik Yaman pada tahun 1994. Walaupun begitu Rusia mengambil sikap untuk berbaik dan terus membina hubungan dengan mana-mana negara yang berseteru dengan AS. Dalam konteks ini Rusia sentiasa menjaga hubungannya dengan Republik Islam Iran dan negara-negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan Iran khususnya Syria.

Selepas berlakunya Arab Spring pada awal 2011 yang menumbangkan pemerintah-pemerintah diktator di Tunisia, Mesir dan Libya; di peringkat awalnya Rusia tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk masuk campur kerana masih lagi sukar untuk melupai luka yang pernah dialami di Afghanistan. Akan tetapi polisi ini berubah selepas menyedari perkembangan ini akan menjejas kepentingannya untuk jangka masa panjang khususnya bagi merebut Asia Barat yang mempunyai kedudukan strategik dan kaya dengan hasil bumi khususnya petroleum.

Selepas Presiden Mohammad Mursi digulingkan oleh Jeneral Abdel Fatah as-Sisi, Rusia dengan cepat menyokong Sisi yang seolah-olah diketepikan oleh AS. Tidak berapa lama selepas Sisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir, Putin menerima kunjungan beliau di Moscow dan mengeratkan lagi hubungan antara Mesir dan Rusia khususnya dari sudut ketenteraan.

Adapun hubungan Rusia dan Turki tidaklah sebaik mana, kerana sudah sedia maklum Turki adalah rakan sekutu AS dan menjadi ahli kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Akan tetapi Rusia bijak mengambil peluang apabila melihat AS dan EU mengkhianati Turki dalam isu kumpulan militan Kurdi PKK dan ketegangan yang tercetus apabila sebuah jet pejuang Rusia ditembak oleh Turki.

Memandangkan sikap dan tindakan kerajaan Turki pada masa krisis itu dan kemudian perkembangan terkini selepas cubaan rampasan kuasa, kebarangkalian sangat kuat pihak yang memberikan arahan untuk menembak jatuh jet pejuang Rusia adalah pengikut-pengikut Fethullah Gulen yang memegang posisi penting dalam tentera dan bukannya Erdogan. Insiden ini adalah perancangan AS untuk mengheret Turki ke lembah peperangan dengan Rusia di Syria. Akan tetapi ketentuan Allah menjangkau perancangan manusia apabila gagalnya cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang dipimpin oleh Jeneral Akin Ozturk, Ketua Turus Tentera Udara Turki.

Kegagalan cubaan rampasan kuasa ini memberi bonus kepada Rusia untuk merapatkan hubungan dengan Turki yang jelas dikhianati oleh AS. Beberapa hari selepas insiden kegagalan cubaan rampasan kuasa ini, Presiden Erdogan mengadakan lawatan ke Rusia menyebabkan AS berputih mata lagi. Akan tetapi semua pihak masih keliru dengan pendirian Turki yang masih lagi mengambil sikap tidak jelas dalam hubungannya dengan AS dan Rusia.

Dalam isu Syria dan Yaman, peringkat awalnya Rusia mengambil langkah berhati-hati sehinggalah pada pertengahan 2015 Rusia dengan jelas mengisytiharkan penglibatannya secara langsung khususnya dalam krisis di Syria. Dalam tempoh beberapa hari ini ketegangan makin memuncak apabila usaha-usaha damai menemui jalan buntu dengan kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain.

Pihak yang paling untung dalam krisis yang berlaku ini ialah negara haram Israel. Ketika seluruh dunia tertumpu kepada isu Syria, Iraq, dan Yaman, negara haram ini boleh melaksanakan agenda menyahudikan (Judaization) Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa dengan selesa. Akan tetapi hakikat sebenarnya; Israel sentiasa memerhati perkembangan yang berlaku dan tidak akan teragak-agak untuk terlibat secara langsung dalam krisis ini. Ini terbukti apabila Israel memberikan bantuan logistik dan senjata kepada beberapa kumpulan Syria dan mendorong mereka untuk melanggar beberapa gencatan senjata yang berlaku baru-baru ini.

Dengan perkembangan yang begitu pantas berlaku ini, saya menjangkakan dalam tempoh setahun dari sekarang akan berlaku pertembungan secara langsung antara AS dan Rusia. Kebuntuan kedua-dua kuasa ini untuk berbincang bagi menyelesaikan isu Syria akan membawa kepada pertembungan secara langsung. Dalam beberapa hari ini Rusia menambah kekuatan ketenteraannya di Syria khususnya peluru berpandu antipesawat S 300 dan S 400. Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya menyebut bahawa; Rusia tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan pesawat AS jika sekiranya ia mengambil sikap menyerang tentera Syria.

AS pula berada di persimpangan jalan dalam menghadapi kebangkitan Rusia ini. Pertembungan dalam pentadbiran AS makin meruncing antara pihak yang mahukan pendekatan keras dan satu pihak lagi yang mahukan pendekatan lembut dan diplomasi. Pentadbiran Barack Obama dilihat lemah dan lembut sehingga gagal untuk menangani kebangkitan Rusia apabila satu-persatu perang diplomasi antara kedua-dua kuasa ini dimenangi oleh Rusia.  

Apa yang pasti pertembungan antara dua kuasa besar ini bukan lagi pertembungan Perang Dingin bahkan perang sebenar yang sangat berpotensi membawa kepada perang serantau mahupun Perang Dunia Ketiga.  

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua DPPM
Ketua Lujnah Antarabangsa DPPM
9 Muharram 1438 / 10 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Share on Myspace