Anak luar nikah, apa penyelesaiannya?

HAFEZ SABRI | .

Foto hiasan

Malaysia kini menjadi perhatian negara umat Islam yang sedang membangun. Ironisnya pembangunan material dan bangunan pencakar langit tidak seiring dengan pembangunan moral dan akhlak yang jahiliah jauh rendah ke dasar bumi bagi segelintir anak muda Malaysia.

Dalam tempoh lima tahun sahaja (2011-2015) sudah 263,691 orang anak tidak sah taraf telah direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia( KKM) pula mendedahkan pada tahun lalu remaja yang berusia 10 hingga 19 tahun yang telah mengandung anak luar nikah adalah sebanyak 3,980 atau 28.8 peratus daripada 13,831 orang.

Kes-kes rogol juga antara penyumbang kelahiran bayi luar nikah ini. Statistik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan peningkatan kepada 12, 473 kes dari tahun 2011 sehingga jun 2015. Daripada jumlah ini, 93.5 peratus melibatkan remaja 13 hingga 18 tahun.

Secara puratanya terdapat 1,500 kes remaja hamil dalam tempoh sebulan dan 50 kes sehari dilaporkan di seluruh negara. Ini bermakna setiap jam sekurang kurangnya 2 orang anak luar nikah lahir di Malaysia. Statistik yang dibuat ini hanya melibatkan kes yang direkodkan. Bagaimana pula kes yang tidak direkodkan?

Inilah jahiliah moden yang semakin berleluasa. Jika ianya tidak dibendung segera, maka rosaklah sistem kekeluargaan di Malaysia. Lebih menyedihkan apabila bayi yang tidak berdosa ini mati dibuang dan dibunuh kejam oleh ibubapa berwajah manusia tetapi jiwanya lebih teruk dari haiwan.

Islam amat mementingkan maruah dan keturunan. Salah satu dari maqasid syar'iyah adalah penjagaan maruah. FirmanNya dalam surah Isra' ayat 32 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Menghampirinya sudah ditegah,apatah melakukan penzinaan. Pergaulan bebas tanpa batasan akhirnya membawa kepada kecenderungan zina. Kemudian lahirlah anak luar nikah, lalu terjadilah jenayah buang anak.

Islam hadir dengan penyelesaian dengan hukuman yang mendidik. Pelaksanaan hudud amat teliti dan bukan dilaksanakan sewenang-wenangnya dalam menjatuhkan hukuman. Bagi pelaku yang belum berkahwin, dilaksanakan sebat 100 kali kepada pesalah dengan konsep sebatan menepati syarak.

Keindahan hukum Islam harus difahami dengan baik. Pelaksanaannya lebih kepada mendidik bukan menghukum. Tidak padan melanggar hukum tuhan dan mencemarkan maruah wanita serta merosakkan keturunan hanya dikenakan denda RM3000, penjara tidak lebih 5 tahun dan sebat tidak lebih 6 kali.

Sehubungan dengan itu Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyeru kepada ahli Parlimen di seluruh Malaysia untuk menyokong pindaan Akta 355 bagi memartabatkan mahkamah syariah dan membentuk masyarakat madani di Malaysia.

DPPN Perak juga menyarankan agar Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan JAKIM dalam merangka modul pendidikan seks bagi mendidik ibu bapa dan remaja dalam memahami kepentingan menjaga maruah dan keturunan serta pembangunan sosial negara.

DPPN Perak juga menasihati rakyat agar lebih cakna dalam mendepani isu-isu sosial dan mengajak untuk terus menyokong usaha membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera. - HARAKAHDAILY 10/10/2016

Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda DPPN Perak merangkap Exco Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace