RUU 355: Ikut hati mati, tak ikut pun mati

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS disalahkan dengan sehabis kesalahan hingga sepertinya PAS itu telah tiada satu betulnya. Memulas apa yang sempat dipulas, tak sempat pulas kepala dipulasnya kaki supaya PAS sakit.

Yang mereka hendaknya apabila PAS sakit, akan ikut sahaja apa orang buat dan suruh. Nak suruh PAS ikut semua yang mereka mahu, jika tidak ikut mereka tetap pulas dan pulas, begitulah sikap jahat pembenci PAS.

Apabila PAS tak ikut, siang malam dok bersyair kata PAS lemah, PAS nak hancur, PAS tak berguna, tapi waktu yang sama, PAS diajak bersatu untuk tumbangkan BN. Kalau dah kata PH tu kuat, tak perlulah ajak PAS bersama.

PAS dari dulu lawan Umno kerana Umno tolak Islam, sekarang ini pun PAS tidak bersama PH kerana di dalamnya ada DAP yang jelas menolak RUU 355, juga di dalamnya ada PAN yang sokong apa sahaja DAP buat.

Dulu burukkan PAS kerana mahu berUG dengan Umno, bila sampai sekarang menunggu, sehingga tinggal tengkorak kering pun PAS masih tak berUG, PAS disalahkan pula kerana nak bentangkan RUU 355.

RUU 355 jadi kambing hitam untuk salahkan PAS.

Masa untuk menilai hampir tiba, ada yang dah jelas perdirian menolaknya, ada yang masih belum buat keputusan, dapat atau tidak majoritinya nanti, seluruh rakyat akan menilai ahli parlimen masing-masing.

Namun pasti jawapan bagi yang mengundi setuju, akan berkata ini adalah usaha untuk laksanakan sebahagian syariat Islam, yang tidak bersetuju pula akan kandang salahkan RUU 355 dengan pelbagai salahnya. Mencurahkan semua lauk kerana benci kepada yang memasaknya.

PAS hanya menunaikan janjinya dengan Allah, untuk tinggikan syiarnya, itu prinsip PAS. PAS tidak peduli lagi sidaun keladi, Insya-Allah RUU 355 pasti dibentangkan, ikut hati mati, tak ikut pun mati. Janji Allah adalah pasti. – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace