RUU 355: Persiap kompetensi ke arah pelaksanaan holistik

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah mengharap transformasi sosial lebih baik bagi negara kesan dari pelaksanaan pindaan terbaharu Akta 355 kelak. Langkah ini perlu diberi dokongan padu semua pihak terbabit, khususnya persiapan kompetensi yang holistik dan tidak membalikkan fitnah terhadap Islam.

Pindaan selaras syarak yang akan diambil peranan oleh Ahli Parlimen dan para penggubal perundangan telah pun membebaskan umat Islam di negara ini dari kewajipan untuk mendaulatkan perundangan syariah. Pun begitu, masih banyak tuntutan perlu dilunaskan.

Antaranya membumikan dakwah di mana setelah lebih lima dekad pelbagai kaum hidup bersama, prejudis kepada Islam masih menjadi stigma masyarakat bukan Islam. Usaha memberi kefahaman ini dapat diluaskan menerusi peranan Jakim, Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam negeri-negeri, ahli akademik dan institusi pengajian tinggi. Malah, kajian dan pindaan terhadap enakmen yang ada perlu diteruskan melalui dorongan dan pandangan para ulama.

Persiapan juga mesti dimulai dari sekarang terutama oleh Dewan Undangan Negeri-negeri kerana akan berpeluang menggariskan pelaksanaan yang menepati syarak selaras peruntukan akta dipinda itu nanti. Bahkan, kompetensi para Pegawai, Peguam, Pendakwa, Hakim Syariah termasuk pihak penguatkuasa terbabit mesti diperkemaskan lagi.

Aspek prasarana berkaitan turut perlu dipenuhi mengikut terma-terma terkandung dalam tatacara baharu kelak. Selain meningkatkan penguasaan teknologi, saintifik, psikologi dan bersangkutan pembuktian serta pendakwaan.

Masyarakat diseru agar meningkatkan kefahaman berhubung perkara ini kerana ia berkait langsung dengan kehidupan sebagai rakyat. Kita mesti yakin bahawa keharmonian dan saling menghormati perbezaan dapat diadakan.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace