Isu kos mahkamah: LGE juga belum bayar kos

NASRUDIN HASSAN | .

Saya merujuk kepada kenyataan akhbar Pegawai Khas Undang-Undang KM Pulau Pinang bertarikh 11/10/2016 berkaitan dakwaan kononnya saya sengaja ingkar dan menghina Penghakiman Persetujuan bertarikh 18/1/2016.

Saya ingin memaklumkan bahawa walaupun Penghakiman Persetujuan telah direkodkan sejak 18/1/2016, namun Penghakiman meterai hanya diserahkan kepada peguamcara saya pada 19/9/2016, dimana Peguam LGE telah memberi tempoh selama 14 hari kepada saya untuk menyelesaikan kos Mahkamah.

Tempoh ini berakhir pada 28/9/2016 (lebih seminggu yang lepas).

Saya baru sahaja dimaklumkan oleh peguam saya bahawa pihak LGE telah membuat tuntutan kos pada awal Oktober baru-baru ini kerana sepanjang tempoh bayaran yang berakhir pd 28 Sept 2016 itu , saya berada di luar negara. Saya baru sahaja pulang dari luar negara akhir Sept baru-baru ini. Saya sendiri sebenarnya telah merancang untuk lunaskan kos mahkamah tersebut dalam tempoh terdekat ini setelah menyelesaikan beberapa urusan penting yang tertunggak sepanjang saya berada di luar negara tempohari.

Dalam tempoh hanya lebih seminggu dari tarikh akhir tuntutan, adalah sangat tidak wajar untuk seorang Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri membuat siaran akhbar kononnya mendakwa saya telah menghina mahkamah, lantas cuba memberi persepsi yang buruk terhadap saya.

Notis tuntutan kos secara rasmi untuk tujuan prosiding pelaksanaan dan memaksa saya membayar kos penghakiman baru sahaja diterima oleh Peguam saya pada pagi ini, lebih kurang serentak dgn Kenyataan Media Pegawai Khas LGE.

Selayaknya Pegawai Khas Undang-Undang LGE memahami bahawa tuntutan terhadap kos penghakiman (jika pun tidak dibayar) tidaklah mengakibatkan penghinaan kepada mahkamah, sebaliknya ia hanya bersifat liabiliti sivil (judgement debt @ hutang penghakiman) sebagaimana tuntutan hutang yang lain.

Jika kegagalan membayar kos adalah satu bentuk penghinaan mahkamah, saya ingin mengingatkan bahawa LGE juga masih belum membayar kos sebanyak RM500 yang telah diperintahkan oleh mahkamah melalui Perintah bertarikh 29/9/2014 (iaitu Perintah yang membatalkan Saman pertama LGE terhadap saya). Jika menggunakan logik Pegawai Khas Undang-Undang LGE maka LGE telah lama menghina proses mahkamah walaupun jumlahnya hanya RM500. Namun saya tidak bersedia untuk menjadikan isu picisan seperti itu memburukkan LGE, tidak sebagaimana yang dilakukan olehnya melalui pegawainya pd hari ini.

Liabiliti sivil pada bila-bila masa tidak akan mengakibatkan proses menghina mahkamah (contempt of court) tetapi hanya membolehkan LGE meneruskan prosiding pelaksanaan untuk tujuan pemaksaan bayaran (execution proceeding @ recovery process).

Pegawai Khas KM Pulau Pinang juga seharusnya menyemak fakta yang betul tentang kelewatan peguamnya sendiri untuk memeterai penghakiman tersebut sehingga mengambil masa 8 bulan dari tarikh penghakiman sebenar.

Selepas tarikh 18/1/2016 tersebut, keseluruhan urusan untuk memeterai penghakiman adalah tanggungjawab peguam LGE, justeru sebarang kelewatan perlulah dipertanggungjawabkan ke atas peguam tersebut.

Justeru, sekali lagi Pegawai Khas Undang-Undang LGE kelihatan berniat tidak baik bagi menggambarkan seolah-olah saya sengaja mengabaikan perintah mahkamah sejak 18/1/2016. - HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace