Mansuh hutan: SAM rujuk kenyataan MB Perak

HARAKAHDAILY | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merujuk kenyataan Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada media yang disiarkan dalam akhbar tempatan bertarikh 7 Oktober 2016.

SAM memetik kenyataan bahawa Menteri Besar mempersoal, adakah salah kerajaan negeri memansuhkan sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang) untuk tujuan membina perumahan rakyat.

Isunya bukan soal salah atau betul tetapi pematuhan kepada dasar dan ketetapan sedia ada.

Pemansuhan sebahagian HS Segari Melintang bercanggah dengan pelan perancangan fizikal, iaitu Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030, yang menyatakan kawasan tersebut adalah sebagai guna tanah hutan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Pemansuhan sebahagian HS Segari Melintang juga bercanggah dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) dan Strategik Korporat utama Jabatan Perhutanan Negari Perak iaitu mengekalkan keluasan HSK sedia ada dan meningkatkan keluasannya.

Untuk makluman, dari semasa ke semasa kawasan yang dilitupi oleh hutan dan kawasan semula jadi di Segari telah dimusnahkan terutama pemansuhan sebahagian HS Segari Melintang.

Keluasan asal HS Segari Melintang ialah lebih 4,000 hektar tetapi keluasan terkini hanya kira-kira 2,720.79 hektar sahaja (belum ditolak lagi keluasan kawasan yang dimansuhkan).

SAM tidak menafikan bidang kuasa pihak berkuasa negeri untuk memansuhkan sesuatu HSK sama ada sebahagian atau keseluruhan tetapi sekiranya kepentingan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dijadikan justifikasi utama adalah tidak mustahil di masa akan datang kawasan sedemikian juga akan dieksploitasi.

Oleh itu, SAM menggesa pihak berkuasa negeri menghentikan serta-merta pemusnahan kawasan hutan di Segari.

Sekiranya sebahagian daripada HS Segari yang dimusnah tersebut telah dimansuhkan, SAM juga berharap pihak berkuasa negeri mewartakan semula sebagai HSK atau menggantikannya mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia - HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace