Ijtimak Tarbawi: Elak kontang tarbiyah, jahil politik

IZWAN ABDUL HALIM | .

IJTIMAK TARBAWI sekali lagi mengisi takwim Dewan Pemuda PAS Malaysia. Penganjuran Kali Kelima ini bakal berlangsung di Balai Islam Pernu, Telok Mas, Melaka pada 14 hingga 16 Oktober dengan pelbagai pengisian padat. Ikuti bicara ringkas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkisar Ijtimak Tarbawi 5.0 dalam temubualnya bersama Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM baru-baru ini.

Apakah mesej atau penegasan yang cuba dipasakkan dalam diri para peserta sempena penganjuran Ijtimak Tarbawi Kali Ke-5 dan mengapa Melaka menjadi destinasi pada kali ini?

Harapan kita daripada program besar Dewan Pemuda PAS Malaysia ini adalah untuk mempertegaskan peranan tarbiyah Islamiyah dan ilmu wahyu dalam kalangan anak muda PAS khasnya dan negara amnya.

Dunia politik adalah cabaran dan fitnah kehidupan besar yang memerlukan bekalan dalaman yang kuat. Ramai yang rebah dalam perjalanan menegakkan agama dalam negara. Jadi kami berharap program tahunan yang dirangka dalam skala besar ini mampu memberi mesej dan kesan yang baik di dalam jiwa anak muda Islam agar mengukuhkan kekuatan diri dengan ilmu dan iman melalui tarbiyah yang benar dan berterusan.

Kita jayakan program ini di Melaka kerana kita yakin negeri Melaka cukup bersedia untuk menganjurkannya dengan baik dan penuh semangat. Mereka sendiri meminta agar ijtimak tahun ini diadakan di Melaka sebagai peluang keemasan untuk memantapkan persediaan Pemuda PAS Melaka bagi menghadapi cabaran perjuangan yang lebih besar di hadapan.

Pengalaman kita dari penganjuran yang lepas, tuan rumah telah mendapat manfaat yang lebih besar dari segi pembinaan ahli Pemuda PAS yang lebih istiqamah. Sebagai contoh, semasa krisis tahun lepas, sebaik kepimpinan Pemuda PAS Johor di beberapa kawasan bertindak keluar parti beramai-ramai, tiba-tiba kita begitu kagum melihat bagaimana kekosongan itu diisi segera oleh pelapis baru seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Johor adalah tuan rumah kepada Ijtimak Tarbawi Pemuda pada tahun 2013. Saya yakin ia adalah sebahagian kesan kejayaan Ijtimak Tarbawi yang dijayakan penuh meriah di Johor pada tahun tersebut.

Sejak penganjurannya kali pertama di Rusila dahulu, ini antara satu produk yang konsisten dijayakan DPPM pada Oktober hampir setiap tahun. Mungkin ada 'roadmap' sedang dilakar dan mahu dicapai? Boleh ustaz kongsikan?

Ya, seingat saya hanya sekali iaitu pada tahun lepas kita telah tukar Ijtimak Tarbawi ini kepada perhimpunan yang lebih besar iaitu Himpunan Istiqamah 60K yang diadakan di Kota Bharu. Kami kira himpunan itu lebih daripada mencukupi untuk memantapkan kekuatan istiqamah yang menjadi produk dalaman penting daripada matlamat tarbiyah.

Sebenarnya ijtimak pertama di Rusila bukanlah kali pertama. Ia sebenarnya adalah kesinambungan Ijtimak Tarbawi yang begitu popular pada era 80-an dan 90-an. Lama ia terhenti. Pada zaman Ustaz Nasrudin Hassan sebagai Ketua Pemuda, kita bincang untuk mengembalikan semula kegemilangan itu. Alhamdulillah ia benar-benar mendapat sambutan dan berjaya kali ini.

Ya, kita sasarkan program tarbiyah adalah program wajib Pemuda PAS di semua peringkat. Ijtimak ini adalah kemuncak tahunan. Dengannya kita harap tarbiyah di peringkat bawah semakin bernadi dan berkembang. Itu sasaran besar kita untuk dicapai. Semakin tarbiyah digerakkan dalam PAS, maka semakinlah PAS mengukuh dengan ahli-ahli yang menyumbang segala milik mereka untuk agama dan negara insya-Allah.

Sering jadi buah mulut kononnya program tarbawi seperti ini mendapat sambutan tinggi segelintir ahli PAS khususnya Pemuda, tetapi tidak berimbangan dengan gerak kerja dakwah dan siasah PAS, manakala segelintir lagi sebaliknya. Apa nasihat ustaz agar diselaraskan keduanya?

Itulah yang kita ingin padamkan dan tolak. Sebenarnya masing-masing akan bekerja mengikut kecenderungan dan kemampuan masing-masing. Tetapi kecenderungan itu tidak boleh menjadi pemisah antara aktivis parti. Bahkan ia perlu saling melengkapi. Sinergi inilah yang kita mahu pupukkan dalam Ijtima Tarbawi pemuda. Semasa muda inilah kita cuba pasakkan agar ia sebati dalam setiap ahli Pemuda PAS.

Kita tidak mahu dalam PAS nanti wujud ahli politik yang kontang tarbiyah dan juga ahli tarbiyah yang lemah dan jahil politik. Insya-Allah, pengisian di dalam program tiga hari ini nanti kita akan perkukuhkan kefahaman ini.

Tips atau saranan ustaz agar suntikan tarbawi ini diterjemah setiap diri ahli PAS pada setiap masa dan tempat hingga mencapai martabat keimanan setinggi-tingginya.

Kita berjuang memikul amanah agama dan para Nabi. Ia amanah berat dan agama yang cantik. Sudah pasti pemikulnya mesti penuh dengan sifat amanah dan akhlak yang cantik juga.

Jadi setiap kita mestilah berusaha mengislah diri ke arah kesempurnaan ilmu iman dan akhlak dengan cara dan praktis yang benar yang kita warisi dari para Nabi dan Sahabat. Saya berharap Pemuda PAS akan semakin maju demi kejayaan masa depan yang lebih cemerlang dengan Islam. – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace