Mufti Perak sokong pindaan Akta RUU 355

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Usaha untuk menaik taraf Mahkamah Syariah telah dilaksanakan oleh generasi terdahulu atas kesedaran untuk umat Islam di Malaysia, demikian dinyatakan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Datuk Seri Dr Harussani Zakaria di Pejabat Mufti, Majlis Agama Islam Perak, hari ini.

Beliau menyatakan sokongan atas usaha Ahli Parlimen Marang untuk meminda Akta RUU 355 dalam persidangan Parlimen akan datang kerana ia adalah tanggungjawab seorang pimpinan Islam.

Sokongan itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Dewan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin juga disertai oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria serta beberapa orang Exco Pemuda PAS Perak.

Harussani menceritakan perjalanan usaha-usaha pada permulaan kewujudan Jawatankuasa Penggubal Undang-undang sehingga tertubuhnya Mahkamah Syar'i serta peranan Qadhi dan pegamal undang-undang Syariah di Malaysia.

Mengulas tentang perlantikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Hashim Jasin beliau gembira dengan perkhabaran tersebut bahkan mengakui pernah bergandingan dalam beberapa program untuk pembentangan berkaitan isu umat Islam.

"Beliau memang layak diberikan kepercayaan kerana ilmu yang dimiliki serta keperibadiannya sesuai berada di tempat Mursyidul Am.

"Saya pernah beberapa kali bersamanya untuk sesi pembentangan kertas kerja berkaitan ehwal umat Islam di Malaysia.

"Ini menjadikan satu pilihan yang terbaik untuk memimpin masyarakat," ujarnya.

Pertemuan tersebut bertujuan berkongsi pandangan berkaitan usaha PAS untuk memartabatkan Mahkamah Syariah serta isu semasa umat Islam yang berlaku. – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace