Ahli Parlimen Sik janji akan sokong RUU 355

HARAKAHDAILY | .

PAS Kawasan Sik hari ini mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman di pejabatnya di sini untuk menyampaikan memorandum meminta sokongan kepada Rang Undang-undang 355 yang akan dibawa oleh Presiden PAS dalam sesi persidangan Parlimen akan datang.

Rimbongan itu diketuai oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Muhammad Sanusi Md Nor, disertai oleh Timbalan Yang DiPertua Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.

Pertemuan berlangsung kira-kira 40 minit dalam suasana mesra dan harmoni. PAS Kawasan telah  menyampaikan hasrat seluruh ahli dan penyokong PAS di sini agar Ahli Parlimen Sik tidak teragak-agak menyatakan sokongan penuh kepada usul Presiden PAS (private members bill) dalam persidangan parlimen akan datang. Hal ini sangat penting untuk memastikan bidang kuasa mahkamah syariah dapat dipertingkatkan agar peruntukan undang-undang mahkamah syariah selari dengan kehendak sebenar syariat Islam.

Dr Mansor Abdul Rahman dalam ucapannya merakamkan jutaan terima kasih diatas kunjungan PAS Kawasan Sik itu, dan berjanji akan menyokong usul tersebut untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini.

Beliau turut berharap semua ahli parlimen beragama Islam akan menyokong usaha PAS dalam hal ini. Bagi beliau, rakyat dan ahli parlimen bukan Islam tidak patut merasa bimbang kerana ia hanya melibatkan urusan umat Islam dan tiada kena mengena dengan mereka. Beliau turut berkeyakinan parti-komponen dalam BN tidak akan menentang usaha ini.

Muhammad Sanusi dalam pertemuan itu nengucapkan terima kasih di atas kesediaan Ahli Parlimen Sik menerima kunjungan PAS Kawasan dan berharap beliau akan terus menyokong sebarang usaha memartabatkan Islam yang diusahakan oleh PAS dalam isu-isu lain dalam negara ini. – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace