Catatan pertemuan DPPM bersama Mufti WP

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI | .

Alhamdulillah. Alhamdulillah. “Sesungguhnya roh kalau ber’amal, maka tubuh badan tak akan terasa letih!”, demikianlah petikan kata-kata Sheikh Bin Baz yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai penutup kepada pertemuan hari ini. Beliau menyebut bahawa ini adalah kata-kata motivasi dan semangat untuk terus bekerja tanpa jemu bagi mengangkat agenda Islam.

Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 128-129:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar."

Pagi tadi, Selasa 11 Oktober 2016, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah mengadakan kunjungan mahabbah dan pertemuan bersama Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan di pejabat beliau di Tingkat 10, Menara Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Delegasi DPPM diketuai oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Kehadiran kami disambut dengan sangat mesra oleh yang dikasihi Sahibus Samahah Datuk Mufti dan pegawainya. Selepas sesi taaruf, DPPM menyatakan hasrat serta tujuan kehadiran iaitu untuk mengeratkan ukhuwah dan bertukar-tukar pandangan berkaitan usaha-usaha memartabatkan perjuangan Islam di Wilayah Persekutuan khasnya dan di Malaysia amnya. DPPM juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Sahibus Samahah Datuk Mufti di atas pencerahan melalui tulisan Bayan Linnas dan sokongan penuh kepada Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta 355 bagi menambah bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.

Seterusnya rombongan ditayangkan dengan video korporat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Pada waktu itu, Mufti Wilayah Persekutuan menjadi ketua kepada bahagian tersebut yang dikenali sebagai “Bahagian Istinbat”. Pada 1 Oktober 1998, ia telah diasingkan daripada struktur JAWI berikutan penyusunan semula struktur Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Operasi. Pada peringkat awal operasinya, pejabat ini hanya terdiri daripada 6 orang anggota sahaja yang dipindahkan daripada Bahagian Istinbat JAWI termasuk pegawai dan kakitangan.

Mulai tahun 2000, semua urusan pentadbiran dan kewangan pejabat diuruskan sepenuhnya oleh pejabat ini dengan mendapat waran peruntukan mengurus daripada Jabatan Perdana Menteri. Pada 3 Mac 2004, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cawangan Labuan telah ditubuhkan. In shaa Allah menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan berpindah ke Putrajaya dan Pejabat di Pusat Islam akan menjadi cawangan Kuala Lumpur.

Antara fungsi Mufti Wilayah Persekutuan termasuklah mengkaji dan mengeluarkan fatwa, mengeluarkan panduan-panduan kefatwaan untuk masyarakat Islam, membentuk keselarasan kefahaman Islam di kalangan umat Islam dan mengawal selia perkembangan agama Islam di Wilayah Persekutuan. Terdapat 3 bahagian di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Bahagian Fatwa (Unit Istinbat, Unit Buhuth dan Unit Falak), Bahagian Sumber & Maklumat (Unit Penyelidikan dan Unit Penerangan/ Penerbitan) dan Bahagian Khidmat Pengurusan (Unit Sistem Maklumat dan Unit Pentadbiran/ Kewangan).

Selepas itu, sesi dialog antara DPPM dan Sahibus Samahah Datuk Mufti berlangsung. Antara topik yang dibincangkan termasuklah RUU Pindaan Akta 355, isu-isu semasa umat Islam setempat dan global dan peranan Pemuda dalam mendepani cabaran masa kini. Turut dibincangkan ialah usaha dakwah kepada Saudara Baru. DPPM juga memaklumkan tentang usaha-usaha yang dijalankan oleh Lajnah Dakwah dan Lajnah Perpaduan Nasional termasuk Akademi Tahfiz Mandarin yang berhasrat untuk memperkukuhkan dakwah dalam kalangan masyarakat Cina.

Sahibus Samahah Datuk Mufti pula berkongsi pandangan dan nasihat merangkumi pelbagai lapangan termasuklah usaha pemerkasaan organisasi mufti, dakwah Muslim dan Non-Muslim serta serba sedikit berkenaan politik semasa tanahair. Beliau menzahirkan kegembiraan beliau terhadap sokongan yang beliau terima termasuk dari agensi-agensi kerajaan, badan-badan Islam, parti-parti politik dan orang ramai semenjak menjadi Mufti. Ini adalah sesi kedua beliau menjadi Mufti yang mana lantikan Mufti adalah 2 tahun untuk satu sesi.

Ada beberapa nasihat menarik yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Mufti yang saya catatkan dan wajar untuk dikongsikan bersama seperti berikut:

1.USLUB DAN MANHAJ DAKWAH: Sahibus Samahah Datuk Mufti menceritakan bagaimana beliau dari masa ke semasa menerima kunjungan dari pelbagai pihak, Islam dan bukan Islam. Beliau menyebut pentingnya dakwah dibuat secara berhikmah tanpa menggadaikan prinsip, sehingga yang didakwah itu menerima Islam atau jika tidak menyokong sekalipun mereka tidak menentang Islam. Beliau menyebut bagaimana pertemuan beliau dengan Archbishop Kristian. Hasil pertemuan tersebut, akhirnya kenyataan beliau disebarkan di seantero negara lain dalam pelbagai bahasa yang menerangkan tentang kebaikan Islam.

2.PENDEKATAN WASATHIYAH: Sahibus Samahah Datuk Mufti memberi komitmen dalam setiap minggu untuk pusing seluruh Masjid di Wilayah Persekutuan sama ada untuk menyampaikan kuliah, tazkirah atau khutbah. Beliau juga percaya kepada pendekatan washatiyah dan banyak merujuk Prof Dr Yusof Al-Qaradhawi dalam perkara ini. Lebih menarik, beliau mengelak dari berbicara tentang perkara-perkara khilafiyah yang boleh membawa kepada perpecahan.

3.POLITIK: Politik ini adalah seni yang mana seninya agak berbeza dengan cabang kehidupan yang lain. Beliau merujuk bagaimana kejayaan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi saat berhadapan dengan tentera King Richard The Lion Heart. Sungguhpun menerima tentangan hebat dari masyarakat Kristian Eropah dalam Perang Salib, namun Salahuddin mendapat reputasi besar di Eropah sebagai seorang kesatria yang berjaya. Meskipun berperang, kedua-dua belah pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. Inilah methodologi dakwah Salahuddin yang sentiasa berpegang pada prinsip dan berseni dalam politiknya.

4.PILIHAN RAYA: Sepertimana dakwah, pilihanraya memerlukan kita untuk menarik dan menawan hati-hati. Untuk menawan hati manusia, ia memerlukan hati yang bersih dan hubungan ibadah dengan Allah yang kuat. Antara kekuatan utama tentera Salahuddin Al-Ayyubi ialah hebatnya dan kukuhnya hubungan hati mereka kepada Allah SWT. Inilah prasyarat kejayaan umat Islam masa lampau sehingga mencapai kegemilangan Islam.

5.TERUSKAN PERJUANGAN: Sahibus Samahah Datuk Mufti juga menyeru Pemuda PAS untuk meneruskan perjuangan membawa agenda Islam. Beliau menyampaikan salam kepada Presiden PAS, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda, YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Beliau berharap kita sama-sama dapat membuat keputusan yang terbaik untuk Islam, masyarakat Islam dan negara tercinta.

Di akhir pertemuan, Ustaz Muhammad Khalil mewakili DPPM menyerahkan cenderahati kenang-kenangan kepada Sahibus Samahah Mufti. Yang Berbahagia Datuk Dr. Zulkifli pula menghadiahkan kami setiap seorang 2 Jilid buku Mursyidul Qari - Petunjuk Untuk Pembaca.

Sebagaimana catatan Sahibus Samahah Datuk Mufti di dalam Laman Facebook beliau, kita berharap semoga perancangan dan hasil fikiran yang terbit daripada pertemuan mendatangkan kebaikan kepada umat Islam dan manusia keseluruhannya.

Rombongan DPPM yang turut hadir dalam pertemuan tadi termasuklah Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin (Naib Ketua), Muhtar Suhaili As-Sarawaki (Bendahari), Sdr Nurul Mohamed Yusoff (PSU1), Sdr Eikhwan Ali (PSU3), YB Ustaz Mohd Zawawi Hassan (Exco), YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (Exco), Ustaz Bilal Ibnu Ruhuddin (Exco), Ustaz Mohammad Ibrahim (Exco) dan Sdr Syaiful Hizam (Pegawai Media).

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan! - HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace