Keadaan pangsapuri Selangor hari ini kerana diabai BN

HARAKAHDAILY | .

PANGSAPURI KOS RENDAH DI SELANGOR: KEADAAN HARI INI AKIBAT DIABAIKAN DI ZAMAN BARISAN NASIONAL

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008, kerajaan negeri telah mendapati keadaan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang amat menyedihkan.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri yang baru telah mewujudkan skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) untuk pangsapuri kos rendah dan pangsapuri sederhana rendah pada pada tahun 2010.

Skim ini menggunakan konsep perkongsian kos di mana kerajaan negeri akan menyumbang 80 peratus kos membaikpulih. Sementara penduduk perlu membayar 20 peratus yang boleh dibayar secara ansuran.

Untuk rumah kos sederhana rendah pula, perkongsian ini adalah 60:40. 60 peratus dari kerajaan negeri dan 40 peratus dari penduduk.

Kerja-kerja yang dilaksanakan di bawah skim CERIA ini adalah kerja-kerja yang melibatkan mengecat semula, lif, bumbung, tangki air, pam air, saluran air hujan, pendawaian elektrikal dan banyak lagi.

Bilangan kawasan pangsapuri yang terlibat dan peruntukan yang dibelanjakan adalah sepertimana berikut:

KAWASAN PANGSAPURI & PERUNTUKAN.

2010/11 - 20 kawasan pangsapuri (RM3,928,978.50)

2012 - 56 kawasan pangsapuri (RM8,543,589.20)

2013 - 26 kawasan pangsapuri (RM4,371,203.26)

2014 - 56 kawasan pangsapuri (RM25,251,503.21)

2015 - 66 kawasan pangsapuri (RM23,674,067.80)

2016 (setakat ini) - 39 kawasan pangsapuri (RM19,586,678.64)

JUMLAH - 263 kawasan pangsapuri (RMRM85,356,020.61)

Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan setiap pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah dapat dibantu melalui program CERIA ini.

Walau bagaimanapun bilangan pangsapuri yang terlibat adalah terlalu tinggi, maka kerajaan negeri memerlukan sedikit masa.

Kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini gagal memberi perhatian yang sewajarnya kepada pangsapuri-pangsapuri tersebut.

Tidak ada skim seperti skim CERIA sebelum tahun 2008. Mungkin jika terdapat skim CERIA ketika itu keadaan seperti hari ini tidak akan wujud.

Menteri Persekutuan yang terlibat tidak perlu menitiskan air apabila membuat lawatan ke mana-mana pangsapuri kerana Barisan Nasional yang telah gagal memberi pembelaan kepada penduduk pangsapuri ketika pentadbiran mereka di negeri Selangor.

Setelah kehilangan kuasa di Selangor, Barisan Nasional telah mula bersandiwara.

Pada hakikatnya kerajaan negeri hari ini yang menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh mereka.

Selain dari CERIA, untuk membantu penduduk pangsapuri kos rendah kerajaan negeri telah juga mengecualikan cukai taksiran (cukai pintu) bagi tahun 2016 dengan kehilangan pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dianggarkan sebanyak RM55 juta.

Kerajaan negeri telah turut melebarkan skim CERIA kepada semua pangsapuri dengan harga jualan RM150,000 ke bawah. Had sebelum ini adalah RM72,000 ke bawah.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
11 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 11/10/2016

Share on Myspace