Mursyidul Am PAS dan Felda

HARAKAHDAILY | .

Kami warga Felda mengalu-alukan pelantikan Tuan Guru Ustaz Haji Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS selepas Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Tuan Guru Ustaz Hashim tidak asing dengan warga Felda. Selama 17 tahun beliau menjadi sebahagian warga peneroka sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Agama Felda dan bertugas di beberapa tanah rancangan terutama di Pahang.

Ketika Felda berhadapan dengan perbagai krisis selepas Tan Sri Isa Samad dilantik Pengerusi Felda pada Januari 2011 dan FGV disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur setahun kemudian, Felda mula disulami dengan perbagai krisis.

Terbaru, Felda mula gagal membayar bayaran hasi BTS peneroka mengikut jadual. Tanpa penglibatan dan hasutan pembangkang, JKKR dan peneroka sudah berani berdemo di hadapan pejabat pengurusan. Ini menggambarkan keseriusan masalah kewangan Felda pada kaca mata peneroka.

Merujuk perkembangan terbaru yang melanda Felda seperti isu PT EHP, penjualan kilang TRT, pembelian hotel dan apartmen, KPF, perumahan generasi kedua Felda (PGBF), kejatuahan komuditi sawit dan getah, tanam semula kedua peneroka Felda, pembelian saham perladangan yang dengan harga lebih tinggi dari pasaran dan berpuluh-puluh isu lain yang melanda Felda.

Beberapa tokoh besar Felda sebelum ini sudah bersama dengan PAS. Kami akan gerakkan gandingan Datuk Sarchu Sawal, bekas CEO KPF dan Mursyidul Am PAS bersama tokoh-tokoh lain untuk terus memberi kesedaran kepada peneroka serta waris generasi mereka agar bersama-sama menyelamatkan Felda seiring dengan penubuhannya sejak 1956 dengan pembukaan pertama di rancangan Lurah Bilut 1958 dan kemasukan peserta seramai 28 orang generasi sulung pada 1959.  Felda bergerak maju sehingga 317 tanah rancangan dibuka seluruh negara dan yang terakhir Felda Sahabat 2 pada tahun 1990.

Dengan kelebihan dan pengalaman Mursyidul Am sekarang, kami harapkan PAS akan memacu perubahan dan kesedaran dalam kalangan peneroka Felda dengan apa yang mereka hadapi sekarang.

PAS memang menyedari kepentingan 54 kawasan parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda di seluruh negara. Dengan kuasa undi Melayu Islam, tidak hairanlah selama ini 54 parlimen ini menjadi simpanan tetap undi Melayu kepada Barisan Nasional.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
12 Oktober 2016 / 11 Muharam 1438 - HARAKAHDAILY 12/10/2016

Share on Myspace