Bajet 2017: Utamakan agenda atasi belia muflis

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor berpendapat agar kerajaan memberi fokus kepada golongan belia muflis dalam pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober nanti.

Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman berkata, di dalam pembentangan bajet 2017 nanti, kerajaan wajar mengutamakan agenda ini sebagai usaha menyelesaikan masalah belia yang muflis yang semakin ramai dari semasa ke semasa.

Statistik sejak tahun 2010 hingga April 2015 menunjukkan daripada 107,000 individu yang diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Seramai 1,469 belia di bawah 25 tahun turut muflis manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan bankrap iaitu sebanyak 37,888 orang daripada jumlah keseluruhan.

"Angka-angka yang ditunjukkan ini amat membimbangkan dan ia dijangka akan meningkat setiap tahun. Dalam memastikan angka ini berkurangan kerajaan perlu memastikan ada agenda penyelesaian pada bajet kali ini," katanya kepada Harakahdaily.

Walaupun telah ada usaha dilakukan kerajaan, katanya, usaha yang diberikan tidak memberi kesan secara menyeluruh, oleh itu kerajaan perlu meletakkan satu kaedah yang baru jika mahu usaha ini tercapai.

Tegasnya, golongan belia merupakan pemimpin masa hadapan dan mereka adalah ikon kepada pembangunan negara, kegagalan mengatasi isu ini, sedikit sebanyak akan merencatkan usaha pembangunan negara.

"Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan kerajaan dengan penglibatan semua pihak sama ada badan bukan kerajaan, badan kewangan, pakar ekonomi ataupun mana-mana pihak, agar resolusi baru untuk atasi gejala muflis ini dapat diatasi secara menyeluruh," ujarnya yang juga Ahli Dewan Tertinggi Ikatan Malaysia.

Terdahulu, Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC) menegaskan pengurusan kewangan yang lemah mengakibatkan seramai 22,663 rakyat Malaysia berumur kurang daripada 35 tahun diisytiharkan bankrap antara 2011 dan September 2015.

MFPC turut mengakui muflis di usia muda boleh mendatangkan mudarat kepada golongan belia sekaligus akan menjejaskan kehidupan harian dan masa depan mereka.

"Kesedaran kewangan di kalangan belia dan mahasiswa di negara ini adalah amat penting bagi kesejahteraan mereka dan masa depan ekonomi Malaysia, sambil menambah golongan ini harus menjadi celik kewangan dari usia muda," jelas MFPC. – HARAKAHDAILY 12/10/2016

Share on Myspace