Umno semakin galak anjur hiburan di Kelantan

RIZAL TAHIR | .

PASIR MAS: Belum pun mempunyai kuasa mentadbir negeri namun Umno semakin galak menganjurkan program hiburan sehingga melanggar peraturan ditetapkan kerajaan negeri.

Ogos lepas tarian gelek dipersembahkan pada perasmian mesyuarat agung Puteri Umno Kota Bharu.

Pada video yang tersebar di media sosial kelihatan empat wanita bertudung mempamerkan aksi gelek yang mengghairahkan di hadapan orang ramai termasuk pemimpin Umno pusat dan negeri.

Dan terbaru artis wanita dewasa tanpa bertudung ditampilkan menyanyi sambil menari pada Karnival Rakyat Chetok.

Konsert hiburan itu difahamkan diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Kelar dekat sini 1 Oktober lepas.                                                        

Ekoran itu, Pemuda PAS Negeri Kelantan menghantar memorandum bagi meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas menyiasat persembahan hiburan tersebut yang melanggar Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bersama rombongan pemuda PAS negeri menyerah memorandum bantahan kepada Ketua Pegawai PPD Pasir Mas, Ahmad Termizi Musa petang semalam.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya kesal terhadap persembahan hiburan tersebut yang dianggap mencabul institusi pendidikan di negeri ini.

“Kita meminta tindakan tatatertib dikenakan terutamanya penguasa premis berkenaan iaitu guru besar sekolah berkenaan kerana membiarkan persembahan hiburan diadakan,” katanya.

Pada 1 Oktober lepas pertunjukan konsert diadakan di sekolah berkenaan yang dianjurkan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Binjai melibatkan artis wanita.

Sepanduk program berkenaan memaparkan gambar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pimpinan Umno Pasir Mas. - HARAKAHDAILY 12/10/2016

Share on Myspace