Malaysia mesti terajui kawalan tembakau

S.M MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengambil langkah-langkah untuk membendung tabiat merokok khususnya di kalangan wanita dan kanak-kanak. Pengambilan tembakau merupakan ancaman kesihatan awam yang paling mudah dicegah.

Namun ia membunuh satu dalam dua orang yang mengambilnya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa jika kerajaan-kerajaan dunia tidak mengambil langkah tegas untuk membatasi pendedahan kepada tembakau, menjelang 2013 ia mampu meragut nyawa lapan juta penduduk di seluruh dunia setiap tahun.
 
Berdasarkan alasan-alasan tersebut, CAP menggesa kerajaan supaya mengambil langkah-langkah berikut:
i.Membentuk Akta Kawalan Tembakau yang tersendiri.
ii.Menyegerakan pengenalan pembungkusan kosong.
iii.Mengeluarkan lesen kepada penjual rokok dan tembakau.
iv.Memandangkan nikotina (nicotine) dianggap sebagai bahan racun di bawah Akta Racun, penggunaannya perlu dipreskripsi oleh sama ada doktor atau ahli farmasi.
 
Adalah penting peraturan kawalan tembakau dikeluarkan daripada Akta Makanan sedia ada dan membentuk Akta Kawalan Tembakau yang tersendiri. Pertama, adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk meletakkan kawalan tembakau di bawah Akta Makanan kerana tembakau bukanlah produk makanan dan ia mengandungi nikotina, sejenis bahan beracun yang disenaraikan di bawah Akta Racun.

Malah, nikotina yang merembes keluar dari daun tembakau yang basah boleh diserap masuk melalui kulit lalu menimbulkan masalah “kesakitan tembakau hijau”, terutama di kalangan pengendali daun tembakau.
 
Pembungkusan kosong rokok pula perlu disegerakan sungguhpun ada kemungkinan Malaysia telah diberi amaran oleh Persekutuan Pengeluar Tembakau Malaysia (CMTM) yang terdiri daripada British American Tobacco (Malaysia) Berhad, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd bahawa kerajaan (seandainya dikuatkuasakan pembungkusan kosong pada produk tembakau) mungkin membawa kesan yang mendalam terhadap penggunaan ‘trademark’ dan hak milik intelektual dalam industri lain. Namun begitu Australia dan United Kingdom telah menerajui isu ini.
 
Australia, negara pertama yang melaksanakan pembungkusan kosong pada 2012, telah diheret ke mahkamah oleh JT International dan British American Tobacco. Namun Mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kerajaan Australia dalam keputusan enam kepada satu bahawa “tidak ada pemerolehan hak milik intelektual oleh kerajaan, dalam rancangannya untuk melaksanakan pembungkusan kosong dengan grafik amaran kesihatan”.
 
Hakim Gummow mengulas bahawa Akta ‘Trade Marks’ tidak memberi “kebebasan untuk menggunakan trademark berdaftar bebas daripada sekatan yang terkandung dalam statut lain.”
 
Tahun lalu di United Kingdom, British American Tobacco, Imperial Tobacco, Philip Morris International dan Japan Tobacco International telah mengambil tindakan di Mahkamah Tinggi, yang membantah pembungkusan rokok berjenama yang akan dikuatkuasakan mulai Mei 2016. Hakim dalam keputusannya berkata syarikat-syarikat berkenaan tidak berhak menerima pampasan kerana mereka terbabit dalam kegiatan “yang membawa kos yang besar ke atas negara” iaitu dari segi penjagaan kesihatan awam.
 
Justeru itu, Malaysia tidak seharusnya berasa takut akan tindakan industri tembakau kerana langkah sama telah pun diambil oleh kerajaan Australia dan United Kingdom mengenai pembungkusan kosong.
 
Selain memperkenalkan pembungkusan kosong, Malaysia juga perlu menimbangkan pemberian lesen kepada penjual rokok dan pengeluar tembakau. Langkah ini wajar bagi memantau penjual rokok yang sah dan membasmi mereka yang menjual rokok yang diseludup. Pada ketika ini terdapat 80,000 penjual rokok di Malaysia, tidak termasuk penjual di tepi jalan.
 
Empat negara anggota ASEAN telah pun melaksanakan pemberian lesen kepada penjual/peruncit. Brunei mengenakan caj bersamaan RM976.25 bagi setiap lesen sementara Singapura, RM1,171.75.
 
Kita berasa hairan kenapa nikotina dalam produk tembakau, khususnya rokok, dikecualikan daripada dikelaskan di bawah racun Kumpulan C, Akta dan Peraturan Racun Malaysia 1952 (Semakan 1989). Pada hakikatnya, 60 mg dos nikotina mampu melumpuhkan sistem saraf pusat dan menyebabkan kematian.
 
Nikotina tidak seharusnya dikecualikan kerana ia merupakan racun yang paling mudah diperolehi kepada 5 juta perokok di negara ini. Ia mesti dikawal sama  seperti racun lain di bawah Kumpulan C, iaitu “ia tidak sepatutnya dijual atau dibekalkan secara runcit kepada sesiapa sahaja kecuali... sebagai ubatan atau ramuan dalam ubatan yang dipreskripsikan.”
 
Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan seperti di atas untuk mengetatkan kawalan tembakau di Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/10/2016

Share on Myspace