Pemuda PAS Perak bantah penalti LJT Plus

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) kecewa dan membantah tindakan PLUS Expressway Berhad (Plus) mengenakan penalti "Long Journey Time" (LJT) kepada pengguna lebuh raya yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia jika berada melebihi tempoh ditetapkan.

"Tindakan ini dilihat menzalimi pengguna lebuh raya yang tidak bersalah," ujar Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar DPPN Perak, Usman Awang dalam satu kenyataan.

Katanya, PLUS harus berfikir cara penyelesaian dan mengambil tindakan kepada pengguna yang menukar, simpan, memanipulasi kad transit tol dan sebagainya bukan mengenakan tindakan kepada semua pengguna yang mengambil tempoh perjalanan yang panjang.

"Lazimnya lebuh raya ini digunakan untuk pulang ke kampung dan ada di kalangan pengguna lebuh raya menggunakan sebagai rutin harian kerja mereka.

"Plus sewajarnya memikirkan faktor keselamatan pengguna jalan raya yang ingin berehat lama dan tidur disebabkan keletihan berbanding keuntungan," ujarnya lagi.

Tambahnya, pujukan Plus bahawa mereka akan membayar balik jumlah penalti tersebut seandainya pengguna dapat mengemukakan bukti bukan munasabah juga.

Menurutnya, pengguna lebuh raya pastinya tidak akan menghabiskan masa, mengemukakan bukti dan hujah bagi menyelesaikan kos penalti yang nilainya tidak sampai RM10.

Justeru, ujarnya DPPN Perak menyarankan agar Plus mencari jalan penyelesaian lain dan bertindak ke atas pesalah sahaja.

Katanya lagi, dengan kecanggihan teknologi kini, pihak Plus boleh mencipta aplikasi atau sistem yang mengesan aktiviti manipulasi kad transit tol ini.

Dalam masa yang sama, kata beliau ingatkan agar mengutamakan penyelesaian masalah kesesakan selepas kemalangan sehingga menyebabkan pengguna sampai lewat ke destinasi dengan lebih efektif dan efisyen.

"DPPN Perak memahami usaha Plus dalam memberi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya, namun tindakan penalti LJT bukanlah satu-satunya solusi dan bukanlah satu keutamaan segera," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 13/10/2016

Share on Myspace